TPM : Kerajaan Tidak Campur Tangan Penahanan Pemimpin PR.

PHUKET, 24 Mei - Kerajaan tidak campur dalam penahanan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini kerana ia di bawah bidang kuasa polis sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis tentunya mempunyai asas kukuh untuk mengambil tindakan berkenaan bersandarkan kepada bukti mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kita tidak mahu campurinya kerana mereka (polis) dapati ada asas kukuh untuk reman penama berkenaan kerana dikatakan telah langgar peraturan.

"Apabila sudah sahih dan cukup buktinya, terserah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan kerana sejak kebelakangan ini rakyat rasa cukup bimbang kalau tidak ada tindakan tegas diambil, tidak kira siapa yang lakukannya," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan pelancongan di Phuket oleh Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TTA) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Gabenor Phuket Mitrai Inthusut dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Taiyab.

Beliau turut menafikan sekeras-kerasnya penahanan tersebut merupakan agenda politik sekaligus menyokong sebarang tindakan polis dalam memastikan tidak timbul sebarang masalah serta huru hara dalam negara.

Katanya, keamanan negara tidak boleh dibiarkan digugat oleh pihak yang berpendapat mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat dan negara.

"Pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja jika melakukan perkara yang boleh menyemarakkan perasaan permusuhan atau membangkitkan perasaan tidak baik dalam kalangan rakyat.

"Polis mengambil tindakan sewajarnya supaya tidak berlaku huru-hara, bukan kerana soal politik tetapi demi memelihara kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara," ujarnya.

Muhyiddin menjelaskan, polis tidak perlu gentar dengan sebarang tindakan Pembangkang yang dibuat atas dasar bahan bukti yang dianggap mencukupi terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

"Apa yang penting ialah rakyat mahu melihat ketegasan pihak berkuasa bertindak kerana menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara," ujarnya.

Beliau juga menegaskan, Malaysia tidak mengamalkan 'undang-undang rimba' sebaliknya wujud undang-undang masyarakat sivil yang digubal untuk kesejahteraan negara termasuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Tambahnya, pihak berkenaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya perlu hormati suara demokrasi.

"Apa yang rakyat hendak lihat sekarang ialah Barisan Nasional (BN) menunaikan segala khidmat kepada rakyat dan pembangkang boleh mencuba nasib mereka sama ada diterima majoriti rakyat atau tidak pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Antara pemimpin Pembangkang yang ditahan termasuklah Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Haris Ibrahim dan anggota PAS Tamrin Ghafar di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana