Pelbagai pihak sokong kenyataan Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR 18 Mei - Pelbagai pihak tampil menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mana-mana pihak yang berterusan menjadikan undi popular sebagai alasan enggan menerima kekalahan dalam pilihan raya umum lalu berhijrah ke negara republik.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, saranan Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO itu wajar kerana pembangkang ketika ini sengaja menyemai benih kebencian dalam hati rakyat sedangkan sistem pilihan raya berasaskan acuan British telah sekian lama diamalkan.

"Kenyataan beliau tepat dan wajar. Ini kerana sudah ada kelompok warganegara yang tidak ada lagi kesetiaan kepada negara sendiri sebaliknya secara aktif mahu merosak dan menjahanamkan Malaysia dengan menanam kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah.

"Saranan agar berhijrah ke negara republik itu pada saya adalah sesuatu yang praktikal. Undi popular ini hanya sebahagian serangan pembangkang ke atas institusi negara, raja-raja Melayu, agama Islam serta hak keistimewaan kaum bumiputera," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selasa lalu, Ahmad Zahid berkata, pihak yang tidak setuju dengan sistem pilihan raya 'first past the post' iaitu cuma seorang wakil rakyat mewakili kawasan ditandingi dan bukan single transferable vote boleh berhijrah ke negara republik kerana kerajaan Malaysia dipilih berdasarkan parti yang memenangi jumlah kerusi paling banyak.

Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, tindakan mempertikai dan mempolitikkan sistem pilihan raya negara ini yang sudah sedia termaktub dalam Perlembagaan jelas membuktikan pembangkang tidak menghormati asas pembentukan negara.

"Saya setuju dengan kenyataan Ahmad Zahid kerana ini fakta dan negara kita tak pernah mengamalkan sistem pemilihan kerajaan berasaskan kepada undi popular. Ini sudah dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menjadikan undi popular sebagai isu bererti mempertikai asas negara kita sendiri," katanya.

Sokongan serupa disuarakan Ketua Penerangan Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman yang menyifatkan pembangkang tiada jiwa besar menerima kekalahan sehingga sanggup menjadikan undi popular sebagai isu sedangkan sejak sekian lama bertanding mengikut sistem sedia ada.

Sementara itu, Presiden Gabungan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Hilmi Ismail menyokong penuh kenyataan Ahmad Zahid kerana tindakan pembangkang menjadikan isu undi popular tidak lebih sekadar menjayakan misi menggulingkan kerajaan BN melalui rusuhan.

"Malaysia negara demokrasi yang sentiasa mengikut peruntukan undang-undang, mereka bebas untuk memilih sistem pentadbiran yang sesuai dengan selera masing-masing, jadi apa yang dikatakan oleh Ahmad Zahid itu tepat dan sesuai, kalau tak suka dengan sistem negara ini, mereka boleh pergi ke negara lain," ujarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana