Ong Tee Keat dilantik semula Menteri?


KUALA LUMPUR, 15 Mei - Bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menafikan beliau akan dilantik sebagai Senator dan bakal menjadi Menteri.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai khabar angin yang 'ditiup' oleh sesetengah pihak yang gemar membuat spekulasi.

"Setakat ini, saya tidak nampak ada kemungkinan bagi saya untuk mengisi jawatan itu (sebagai senator dan menteri), tetapi saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mempunyai calon yang lebih baik daripada saya untuk memasukkan mereka dalam Kabinet.

"Lagipun saya tidak ditawarkan oleh parti ataupun Barisan Nasional (BN) untuk bertanding pada PRU13 (pilihan raya umum ke-13), jadi saya bukan seorang calon yang sesuai kepada mereka," katanya ketika ditemu ramah dalam program 'Hello Malaysia' Bernama TV Selasa malam yang dikendalikan Sherkawi Jirim.

Turut menjadi panelis Pensyarah Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia Profesor Dr Azmi Hassan.

Ong berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar the Malay Mail yang memetik beberapa veteran politik bahawa beliau bakal dilantik sebagai Senator sebelum menganggotai jemaah menteri kabinet bagi mewakili kaum Cina.

Bekas anggota Parlimen Pandan itu yakin Najib telah mengumpul pandangan rakyat dalam mewujudkan barisan kabinetnya.

Ditanya keperluan wakil berbangsa Cina dalam kabinet, Ong berkata perkara ini merupakan harapan besar masyarakat berkenaan yang selama ini mahu melihat wakil mereka dalam kerajaan bagi menyuarakan pandangan kepada pemimpin tertinggi negara.

"Namun, setakat ini saya lihat perkara ini tidak didebatkan secara hangat oleh masyarakat Cina di negara ini. Walaupun ramai pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil dalam kerajaan, namun fenomena ini dilihat sebagai satu ragam yang sukar diramal," katanya.

Sementara itu, Azmi berpendapat Najib mampu membentuk satu pasukan kabinet yang serba baharu selepas PRU13, yang dapat menggambarkan agenda transformasinya kepada masyarakat di negara ini.

"Memandangkan kabinet sebelum ini bukan merupakan 'hasil tangan' sepenuhnya oleh Perdana Menteri, maka saya percaya selepas PRU13, beliau dapat membentuk satu jemaah menteri yang baharu, disifatkan satu pasukan yang diberi kepercayaan penuh untuk meneruskan transformasi beliau kepada masyarakat," katanya.

Menyentuh wakil Cina dalam kabinet, Azmi berpendapat ia perlu meliputi wakil daripada pelbagai parti dan bangsa bagi memperjuang kepentingan dan hak masing-masing.

"Wakil-Wakil boleh diambil dari kalangan profesional seperti ahli akademik, ekonomi dan pelbagai bidang lain, dilantik menjadi senator dan seterusnya menjadi menteri dan dapat menyuarakan pandangan masyarakat Cina," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana