Mengapa Anwar Ibrahim tidak mahu bersara?


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan bersara dari politik walaupun pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya. Lantas beliau tidak menghiraukan janji awalnya akan bersara jika tidak dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) .

Mengapa perlu bersara? tempelak Anwar. Katanya, beliau akan bersara jika Pakatan Rakyat kalah. Namun, tingkahnya, Pakatan Rakyat sebenarnya menang. Cuma konspirasi BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan kemenangan itu.

Selanjutnya, Anwar pun berpidato bahawa kerajaan hari ini adalah tidak sah kerana ia menang melalui penipuan. Lantas, adalah menjadi tanggungjawab baginya meneruskan perjuangan untuk menumbangkan kerajaan tidak sah ini.

Maka matlamat ini menjadi semboyan yang mengujanya untuk terus berkecimpung dalam politik Malaysia. Menentang kerajaan kali ini adalah sah dan halal baginya.

Cetus huru-hara, Anwar bakal ditangkap

Justeru beliau akan terus membarakan jiwa juang dan kesedaran rakyat bahawa perjuangan menegakkan sebuah negara benar-benar demokratik belum selesai.

Seperti biasa bagi memberi rencah lebih menggiurkan dalam fasa perjuangan kali ini, Anwar awal-awal lagi membuat ramalan bahawa kemungkinan beliau akan ditangkap adalah besar.

Sebab itu beliau sudah menghebahkannya terlebih dahulu kemungkinan itu. Sebab mengapa beliau akan ditahan ialah kerana dituduh cuba mencetuskan penentangan dan menumbangkan kerajaan.

Oleh itu, beliau pun berwasiat bahawa sekalipun beliau ditahan, perjuangan ini perlu diteruskan.

Maka gegak gempitalah penyokong-penyokongnya menyahut cabarannya dengan azam untuk berjuang hingga kerajaan BN tunduk dan berundur. Semuanya akan digerakkan oleh Anwar dari celah jeriji besi kamar tahanannya.

Anwar mahu setanding dengan Nelson Mandela, Aung San Su Kyi

Kelak dunia akan tahu kebobrokan politik Malaysia. Maka banyaklah pertubuhan seluruh dunia yang akan menamakan beliau sebagai “pejuang dalam tahanan” (prisoner of conscience).

Ini akan meletakkan namanya sebaris dengan pemimpin-pemimpin ulung dunia seperti Nelson Mandela dan juga Aung San Su Kyi. Daripada sekadar berjuang menggantikan kerajaan yang korup, Anwar akan dikenali sebagai pejuang kebenaran, keadilan sejagat.

Sebenarnya apabila sampai di tahap itu, Anwar tentu berasa selamat dan lebih aman untuk mengarahkan gerakan menumbangkan pemerintah seperti berlaku di beberapa negara Arab yang dinamakan Arab Spring.

Menilai tindak tanduknya sejak 5 Mei lalu, Anwar memang mahu merintis jalan ini. Egonya besar mahu menjadi perdana menteri. Maka apabila cita-citanya tidak tercapai beliau perlu alasan yang kukuh. Demikianlah alasannya, Pakatan Rakyat tidak kalah tetapi kemenangannya dirampas oleh SPR! Biar dunia tahu.

Kenapa Anwar begitu kemaruk mahu jatuhkan kerajaan BN? 

Di sebalik kecekalan, kegigihan dan ego besar Anwar ini rakyat dihalakan kepada satu lagi perspektif lain yang mungkin memperjelaskan kenapa Anwar begitu kemaruk untuk menjatuhkan kerajaan BN yang baru mengangkat sumpah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 awal bulan ini.

Teropong politik ini bukan datang dari dalam negara tetapi dipancarkan oleh sebuah badan penyelidikan dari Kanada yang dikenali sebagai Global Research Foundation yang agak mengejutkan.

Laporan yang ditulis oleh Tony Carlucci menyifatkan kejayaan BN dalam PRU ke 13 lalu ialah satu kemenangan menyekat Malaysia menjadi bidak percaturan Amerika Syarikat dan Britain yang mahu mengembangkan hegemoni mereka dan menyekat kemaraan China daripada menjadi kuasa ekonomi dan ketenteraan dunia.

Carlucci membentangkan kaitan tajaan beberapa konglomerat Amerika Syarikat seperti Boeing, Goldman Sachs, dan Exxon serta Dewan Perdagangan Amerika Syarikat melalui pertubuhan seperti National Endowment Fund for Democracy (NED) demi menghidupkan demokrasi seluruh dunia.

Walhal, kata Carlucci tujuan sebenar NED ialah menumbangkan kerajaan di sesebuah negara yang mahu dikuasai Amerika Syarikat. Antara yang mendapat habuan NED ialah badan penyelidikan Merdeka Centre for Democracy dan juga pergerakan Bersih “untuk pilihan raya yang bersih dan adil”.

Sejak pendedahan ini dibuat pada 9 Mei lalu, belum ada penafian daripada Bersih mahupun Merdeka Centre. Anwar juga belum memberi sebarang ulasan mengenai dakwaan itu.

Taktik pertubuhan-pertubuhan yang ditaja oleh NED ini umumnya adalah sama. Pertama, uar-uarkan kemungkinan ada penipuan dalam pilihan raya sebelum penamaan calon diumumkan. Ini diikuti dengan usaha mempertikaikan wibawa badan pengendali pilihan raya dan akhir sekali jika “calon-calon Amerika” ini kalah, ledakan demonstrasi jalanan seperti Arab Spring.

Di tengah-tengah kemelut yang cuba diwujudkan di Malaysia ini ialah Anwar Ibrahim. PAS dengan tegas dan jelas menjarakkan diri dari taktik ini. DAP pula berhati-hati dalam membuat pendirian dan membabitkan diri terbabit dengan bertopengkan alasan ia adalah aktiviti kerajaan negeri yang tidak perlu permit polis.

Nampaknya yang masih tegar meniupkan api kebencian terhadap kerajaan ialah Anwar Ibrahim. Di samping itu beliau pun mengacah-acah pihak berkuasa untuk menahannya. Ini adalah satu provokasi. Jika ditahan Anwar berharap akan dipandang sebagai wira.

Sebenarnya, sejak keluar penjara pada tahun 2004, Anwar Ibrahim sudah terlalu lelah. Beliau perlu berehat. Untuk berundur rasa malu. Egonya besar. Sebab itu, beliau lebih senang ditahan untuk mendapatkan rehatnya.

Langkah seterusnya harus dipacu oleh rakyat. Sama ada benar atau tidak Anwar dan konco-konconya ditaja oleh kuasa-kuasa “neo colonialis” tidak berapa penting. Yang lebih utama rakyat buka mata dan menjawab soalan, apabila berlaku Arab Spring, siapakah yang mengaut untung daripada keruntuhan sistem negara di Mesir, Libya dan kini Syria?

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana