'Mansuh Dewan Negara tidak rasional' - Peguam


SHAH ALAM: Cadangan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya Dewan Negara dimansuhkan bakal mengundang ketidakstabilan dalam sistem berparlimen kerana tiada 'semak dan imbang'.

Malah ia bertentangan dengan sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, menurut peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Katanya, kenyataan penuh emosi Karpal itu hanya bersifat politik dan ditujukan kepada individu-individu tertentu selain keengganan mengiktiraf senator-senator yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru beliau berpendapat tiada keperluan untuk Dewan Negara dimansuhkan.

"Cadangan pemansuhan Dewan Senat ini adalah satu cadangan yang bagi saya bertentangan dengan sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya menjadi Malaysia iaitu kita mengamalkan sistem dua Dewan dalam satu Parlimen..iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Tujuannya adalah supaya ada imbang dan periksa, antara Dewan Rakyat yang merupakan Dewan yang dipilih oleh rakyat Malaysia dan Dewan Negara yang mana adalah dilantik oleh YAB Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.

Cadangan itu juga kata Hafarizam bertentangan dengan sistem yang diamalkan di negara ini yang berpandukan kepada sistem Westminster dan masih diamalkan di kebanyakan negara-negara Komanwel seperti England, Australia dan New Zealand.

"Jika kita melihat negara-negara Komanwel yang lain, sebagai contoh di England, Australia dan juga di New Zealand, mereka sehingga kini masih mengamalkan sistem dua Dewan dalam satu Parlimen.

Karpal ketika mengemukakan cadangan tersebut menegaskan dengan adanya Dewan Negara, rakyat terpaksa menanggung perbelanjaan yang tidak berkepentingan.

"Ia hanya menggalakkan mereka yang telah ditolak oleh rakyat atau orang lain untuk dibawa ke Parlimen melalui pintu belakang melalui Senat memandangkan dalam undang-undang Parlimen juga termasuk Senat," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata ruang perundangan tunggal, seperti di Singapura, adalah paling sesuai demi kepentingan awam selain menyifatkan pelantikan Senator dalam barisan Kabinet negara sebagai satu penghinaan.

Pendapatnya itu bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Hafarizam yang melihat sebagai satu penghargaan bagi golongan-golongan profesional dan teknokrat untuk terlibat secara langsung dengan agenda transformasi yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jadi saya nampak di sini, motif Karpal Singh hanya untuk mempertikaikan pelaksanaan budi bicara ataupun keputusan yang ada dan telah dibuat oleh Perdana Menteri..itu sahaja.

"Bagi saya ianya bukan satu penghinaan tetapi adalah satu penghargaan kepada mereka-mereka ini yang bukan ahli politik untuk turut sama dalam Kabinet Malaysia bagi menjalankan agenda transformasi negara yang didukung oleh Perdana Menteri," katanya.

Senator-senator yang dilantik ke Kabinet baru adalah Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Datuk Seri Idris Jala, Waytha Moorthy Ponnusamy, Datuk Paul Low Seng Kuan, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan, Datuk Ahmad Md Hanipah Bashar.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana