Langkah Anwar akan hancurkan negara


Tindakan yang telah dan sedang di ambil oleh Anwar Ibrahim bersama konco-konconya dengan  mengadakan siri perhimpunan untuk membantah keputusan PRU 13 memang sudah dikesan dan dijangka sejak dari awal lagi.

Tindakan sedemikian pada analisa akhirnya tidak menguntungkan sesiapa. Bahkan ia merupakan tindakan sia-sia yang dilakukan semata-mata untuk memuaskan kehendak ego dan keinginan melampau untuk menduduki kerusi Perdana Menteri dan seterusnya mentadbir Negara ini.

Aktiviti kempen yang berjalan sudah sekian lamanya dengan kemuncaknya berlaku setelah pembubaran parlimen dan proses penamaan calon diselesaikan. Kempen yang dijalankan sejak dari awal sudah menunjukkan tanda-tanda perpecahan dikalangan rakyat Negara ini khususnya masyarakat Melayu Islam.

Hampir setiap malam dalam skala kecil atau skala besar rakyat disogokkan dengan berbagai isu yang sebahagiannya adalah merupakan cerita-cerita murahan yang terus diungkit untuk menarik perhatian ramai.

Sebenarnya rakyat Malaysia sudah letih dan jemu jelak dengan kerja-kerja politik yang sebahagiannya bukan menghala kepada membina Negara. Sebaliknya lebih merupakan proses manipulasi dan indoktrinasi yang merugikan rakyat dan umat.

Setakat ini tidak ada kajian yang dibuat kos yang terlibat terhadap kerja-kerja politik sedemikian. Kos dari segi masa, tenaga, wang ringgit termasuk kos yang tidak kelihatan seperti kos perpecahan masyarakat, kos kelalaian disebabkan sesetengah pihak begitu obses terhadap kerja-kerja sedemikian semata-mata dilakukan atas nama mendapatkan kuasa dan kedudukan.

Tindakan yang diambil oleh Anwar Ibrahim dan konco-konconya dengan tidak mengiktiraf keputusan pilihanraya atas alasan-alasan remeh yang tidak dapat dibuktikan bukan sahaja menambah lagi kegelisahan dikalangan rakyat sebaliknya  menggandakan lagi kos nampak dan yang tidak nampak seperti yang disebutkan sebelum ini.

Tindakan yang dilakukan tidak ramai orang yang boleh diyakinkan bahawa tindakan sedemikian mempunyai tujuan murni untuk membawa Negara ke jinjang Negara maju yang diredhai tetapi rakyat Malaysia sudah sedia memahami akan tujuan sebenar tindakan mengadakan siri perhimpunan, program jelajah, menghimpun tandatangan dan sebagainya.

JATI ingin melontarkan secebis pandangan mengenai perkara ini. Bahawa adalah lebih baik dan jauh lebih bermanfaat sekiranya diperingkat diri, keluarga dan masyarakat luas menumpukan perhatian memperbaiki diri masing-masing, memperkukuh institusi keluarga dan memperkasa masyarakat.

Usaha-usaha ini jauh lebih murni dan memang sangat diperlukan kerana tahun 2020 tahun keramat yang akan meletakkan Malaysia menjadi Negara Maju hanya tinggal dari sudut tahunnya boleh dihitung dengan jari-jari sebelah tangan sahaja.

Tidak perlulah mana-mana pihak melayan tuntutan dan hasutan daripada manusia-manusia hipokrit seperti ini. Apa tidaknya, di dua negeri Pakatan Rakyat, Menteri Besar dan anggota Exconya sudahpun mengangkat sumpah dan telah memulakan tugas.

Negeri Selangor akan melakukannya dalam masa terdekat. Kepada mereka yang telibat termasuk Anwar Ibrahim apa gerangan jawapan yang patut diberikan - tangan sebelah kanan mengiakan sementara tangan sebelah kiri pula menidakkan. Agaknya ke mana anggota tubuh itu akan bergerak untuk meneruskan kehidupan. Begitulah lebih kurang analogi yang boleh diberi terhadap tindakan Anwar Ibrahim itu.

Saya secara peribadi lebih cenderung untuk tidak banyak membuang masa memikirkan wayang yang dimainkan oleh Anwar Ibrahim.  Saya lebih terpanggil untuk memikirkan masalah persepsi dan gambaran minda dikalangan anak-anak muda yang menjadi pewaris kepada generasi kini.

Saya bimbang kalau ada di antara mereka yang suka mencontohi sesuatu akan mengambil tindakan dan langkah Anwar itu sebagai sesuatu yang mereka anggap patut dicontohi dan mereka pula akan menggunakan tektik dan strategi mainan wayang itu untuk diaplikasi dalam cabang-cabang kehidupan yang lain.

Bayangkan apa akan berlaku jika sekiranya manusia-manusia hipokrit ini dijadikan “role model” kepada anak-anak muda yang satu ketika nanti akan menduduki tempat dan ruang dalamana kini kita mendudukinya.

Yang lebih membimbangkan saya ialah terdapat setengah-setengah pihak yang berpendapat bahawa mainan-mainan Anwar Ibrahim tersebut sebenarnya didalangi oleh unsur-unsur asing yang ingin melihat kehancuran negara.

Klip video yang dipertontonkan yang berlaku di Jerusalem beberapa hari sebelum PRU ke 13 membuatkan saya bertambah yakin wujudnya dalang-dalang di luar daripada perbatasan Negara ini.

Pihak berkuasa harus menyiasat secara mendalam perkara ini termasuk kenyataan-kenyataan dan gambaran-gambaran negatif mengenai Negara ini yang sentiasa diberikan oleh Anwar kepada pihak luar termasuk media-media mereka.

Pimpinan JATI telah melahirkan rasa dukacita kami terhadap manusia-manusia yang hilang punca tersebut lantaran tindakan mereka jika dilihat daripada satu sudut yang lain boleh dikaitkan dengan penderhakaan kepada Insitusi Raja.

Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu telah memperkenankan perlantikan Ketua-Ketua Eksekutif dan memperkenankan pembentukan kerajaan diperingkat Persekutuan dan Negeri. Tindakan untuk tidak mengiktiraf perkenan Ke Bawah Duli-Duli Tuanku itu dikhuatiri boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada Institusi Raja.

Apa yang berlaku memperjelaskan lagi sangkaan kita selama ini bahawa terdapat sebahagian kecil rakyat yang bekerja siang malam bukan untuk melonjakkan tempo usaha pembangunan Negara sebaliknya seolah-olah gembira melihat Negara berada dilembah kehancuran.

Saya menyerukan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cinta dan pentingkan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup, usah dilayan karenah dan perancangan jahat Anwar Ibrahim bersama konco-konconya yang sekadar ingin menggunakan rakyat untuk memuaskan nafsu peribadi mereka semata-mata.

Sebaliknya bersama-samalah kita saling lengkap melengkapi antara satu sama lain untuk melihat Negara ini benar-benar menjadi Negara Maju dan mendapat keredhaan Allah SWT (Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghaffur).

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana