Katakanlah anda belum mahu bersara, Anwar


Amatlah menyedihkan bahawa bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja enggan menyambut saranan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak untuk menggerakkan Agenda Penyatuan Negara malah enggan menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau bagaikan orang lemas melemparkan pelbagai tohmahan terhadap badan pengurus pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kononnya banyak kecurangan dilakukan secara bersekongkol dengan Barisan Nasional (BN), terutama Umno.

Gelagat Anwar sedemikian lancang kerana gagal mencapai matlamat utamanya menakluki Putrajaya. Banyak strategi yang diaturnya tidak menjadi. Malangnya sebelum membuat bedah-siasat rasmi, Anwar telahpun melonggokkan kesalahan pada pihak lain dan enggan mengakui kelemahan beliau dan partinya sendiri.

PKR gagal perolehi majoriti

Umum tahu Anwar mensasarkan PKR seharusnya menang 50 kerusi, DAP 40, dan PAS 40. Jumlah 130 kerusi ini bakal menyebabkan BN longlai dengan hanya 90 kerusi Dewan Rakyat lantas Najib dan Umno menjadi pembangkang di Malaysia.

Sebaliknya, keputusan PRU ke 13 menunjukkan DAP cuma kekurangan dua kerusi daripada yang dimatlamatkan. PAS pula singkat 19 kerusi daripada sasaran. Namun yang mencatatkan kegagalan terbesar ialah PKR yang kurang dua puluh kerusi.

Jika tidak dikira kerusi Parlimen Sungai Siput yang dimenangi oleh calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr S Jeyakumar yang menumpang guna lambang PKR, parti itu tersasar sejumlah 21 kerusi!

Strategi Anwar ialah, DAP menumpukan perhatian pada kawasan majoriti Cina. Ertinya, DAP perlu tumbangkan MCA dan Gerakan. Berkat sokongan PAS dan PKR, DAP mencatat kejayaan hampir seratus peratus.

Sokongan pengundi Cina dan bukan Melayu kepada PAS dan PKR rendah

Tugas PAS pula ialah menumbangkan Umno. Di mana sahaja PAS bertanding penghalangnya ialah Umno. Maka dengan memecahkan sokongan Melayu-Islam, PKR dan DAP seharusnya bekerja untuk memastikan undi bukan Melayu-Islam pergi kepada PAS.

Sementara PKR akan menumpukan kawasan bandar dan pinggir bandar di mana taburan kaumnya agak munasabah merata dikalangan pengundi pelbagai kaum.

Yang nyata sokongan Cina dan bukan Melayu kepada PAS dan PKR agak rendah daripada matlamat. Sebab itu, PAS gagal menyaingi Umno. DAP juga gagal mendorong pengundi bukan Melayu kepada PKR dan PAS sekali gus.

Mungkin ini ada kena mengena dengan kempen terbuka beberapa tokoh pemimpin DAP seperti Norman Fernandez di Johor dan pemimpin DAP Kedah yang secara terbuka tidak mahu pengundi bukan Melayu-Islam menyokong PAS sebelum PRU 13.

PAS dan PKR sendiri mempunyai masalah di antara mereka

Bagaimanapun PAS dan PKR sendiri mempunyai masalah di antara mereka. Kes pertembungan calon masing-masing di enam kawasan DUN dan satu kerusi Parlimen adalah dalil perbalahan benar terjadi di antara keduanya.

Antara puncanya ialah, PKR dengan restu Anwar menggunakan ulama tersohor, Dr Yusuf Qardhawi untuk menekan PAS supaya memperakui Anwar menjadi perdana menteri Pakatan Rakyat jika memenangi Putrajaya. PAS jengkel dan kurang selera untuk meraih undi tambahan bagi PKR di kawasan ia bertanding.

Namun kegagalan terbesar PKR ialah apabila kuasa mengatur calon dan strategi dihadkan kepada seorang sahaja iaitu Timbalan Presiden merangkap Pengarah Pilihan Rayanya, Azmin Ali.

“Anak Emas” Anwar

“Anak Emas” Anwar ini membolot dan menyorokkan maklumat berhubung pemilihan calon dan strategi daripada pengetahuan pemimpin PKR lain. Ini membuat pemimpin lain seperti terkapai-kapai tentang strategi perang yang disusun oleh Anwar dan Azmin.

Sebab itu, walaupun akhirnya strategi pilihan raya itu didedahkan kepada pemimpin lain, sudah agak terlambat bagi jentera PKR untuk menyenggara keperluan setiap kerusi Parlimen dan DUN yang hendak ditandingi.

Ini menyebabkan di antara “bintang” PKR seperti Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail tiada ruang dan masa yang cukup untuk menyiapkan diri mempertahankan kerusi PKR di Kulim Bandar-Baharu.

Rekod Saifuddin sebagai ADUN Lunas dalam kawasan Kulim itu tidak mencukupi untuk merawat luka kecewa pengundi di situ yang ditinggalkan oleh Zulkifli Noordin yang dipecat oleh PKR sebelum ini.

Begitu juga di Balik Pulau. Oleh kerana kurang gemar dengan kelancangan mulut Yusmadi Yusof sebagai ahli Parlimen di situ, Anwar dan Azmin memutuskan beliau diganti. Apapun Yusmadi sudah berakar umbi pengaruhnya di Balik Pulau. Menggugurkannya pada saat terakhir hanya menyukarkan calon penggantinya.

Masalah wakil-wakil penyandang sesuatu kerusi Parlimen tidak diberi perhatian sangat oleh Anwar. Itu terjadi pada N Gobalakrishnan di Padang Serai, S Manikavasagam di Kapar dan Muhsin Fadzli Samsuri di Bagan Serai.

“Cemeti politik” Anwar

Anwar lebih senang menggunakan “cemeti politik” untuk merangsang mereka berkhidmat pada rakyat.

Maka apabila PKR gagal mencapai matlamat, kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang mulai samar. Kini terbukti beliau bukan perancang dan pelaksana yang baik. Bagi menutup kelemahan ini beliau menyalahkan strategi putus bekalan elektrik SPR dan Umno sebagai curang.

Walhal Anwar insaf bahawa PKR berjaya menggagalkan taktik kotor ini di Lembah Pantai pada 2008. Oleh kerana terpukau dengan Nurul Izzah pemuda-pemuda PKR sanggup mengiringi setiap peti undi dari pusat pembuangan undi hingga ke pusat penjumlahan undi.

Tiba di dewan penjumlahan setiap anak muda PKR sudah dilengkapkan dengan lampu suluh kuasa tinggi. Ini kerana PKR memang maklum bahawa dalam proses penjumlahan undi bekalan elektrik sering terputus. Apabila ia benar terjadi, anak muda PKR sudah bersedia menerangi dewan.

Anwar didik anak buahnya kecurangan taktik politik Umno

Taktik ini dipelajari daripada Umno. Bukankah Anwar dan anak-anak buahnya disekolahkan oleh politik dan taktik Umno yang dituduh Anwar curang. Seharusnya Anwar patut memikirkan alasan lebih bernas untuk sebenar mengatakan beliau tidak bersedia menunaikan janji akan bersara dan “mengajar” jika gagal menakluki Putrajaya?

Paling penting sebagai seorang pendakwah Anwar harus ingat perintah Allah S.W.T:

“Katakanlah: Wahai Tuhan mempunyai Kerajaan, Engkau berikan Kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Imran ayat 26).

Insaflah Anwar bahawa Allah belum menghendaki kamu memiliki kerajaan Malaysia. Namun ini tidak bermakna Allah mahu menghinakan kamu terkecuali kamu berprasangka padaNya, dan Suruhanjaya Pilihanraya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana