Bantah demo jalanan bukti penolakan pada Anwar


KUALA LUMPUR: Tindakan beberapa pemimpin sekutu Pakatan Rakyat mengecam hasrat kumpulan pro pembangkang mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi demonstrasi jalanan dan kekerasan secara tidak langsung adalah satu penolakan terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berpendapat mereka sebenarnya tidak bersetuju dengan tindakan Anwar serta pemimpin tertentu mengadakan perhimpunan dan protes di stadium sebagai alasan tidak mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) jelas bertentangan dengan nilai dan norma demokrasi.

"Pendekatan Anwar guna ini dah lapuk dan jelas bertentangan dengan amalan demokrasi yang diamalkan di negara ini.

"Pemimpin pakatan sebenarnya tolak Anwar, jadi bagi menunjukkan elemen penolakan itu mereka memprotes kepimpinan Anwar secara berhemah apabila tidak mahu terlibat sama dengan Anwar," katanya kepada Bernama.

Umum mengetahui perhimpunan jalanan dan pendekatan anarki, yang sinonim dengan Anwar sejak demonstrasi Baling 1974 dan demonstrasi lain sebelum ini, sebenarnya lebih membawa mudarat dan mencetuskan kekecohan yang merugikan rakyat dan negara.

Md Shukri berkata tindakan Anwar, yang disokong beberapa pemimpin DAP, menganjurkan perhimpunan 'Blackout 505' menunjukkan mereka tidak menjiwai sistem demokrasi serta tidak menghormati keputusan rakyat pada PRU13 yang berpihak kepada kerajaan BN.

Menyifatkan himpunan itu sebagai lambang 'demo anarki', beliau berkata:

"Anwar tak payah nak teruskan dengan budaya 'barbarian' atau 'robin hood demokrasi' dengan mencuri kuasa daripada kerajaan kemudian bagi kuasa itu kepada rakyat, sedangkan rakyat sendiri tidak beri kuasa kepada dia."

Pada 16 Mei lepas, Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh membantah perhimpunan seumpamanya kerana sebarang rancangan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan hanya akan membawa mudarat kepada negara dan mencetus kekecohan sehingga membahayakan orang ramai.

Sebaliknya, Karpal Singh menyarankan pihak berkenaan untuk menggunakan saluran yang betul bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap keputusan PRU13.

Sekutu PKR dan DAP, PAS pula menyatakan akan berpegang teguh pada prinsip demokrasi dan tidak akan terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menimbulkan suasana huru-hara dan kacau-bilau di dalam negara ini.

Sebaliknya, Md Shukri berkata Anwar perlu bertanggungjawab terhadap kekalahan pakatan di beberapa negeri seperti di Perak dan Kedah selain menumpukan usaha memajukan negeri yang dimenangi pakatan pembangkang.

Pada masa sama, katanya, pembangkang sepatutnya bertanggungjawab terhadap perpecahan yang berlaku dalam masyarakat hari ini kerana tindakan mereka yang suka menabur fitnah dan spekulasi telah menimbulkan huru-hara kepada masyarakat.

"Pembangkang merupakan ejen paling berkesan memecahbelahkan rakyat kerana sering memainkan isu yang sememangnya sudah termaktub di dalam perlembagaan negara seperti hak istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

"Pembangkang turut menyalahgunakan amalan demokrasi sebagai elemen perpecahan di mana semua rakyat berhak bersuara sehingga boleh bertindak menggulingkan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata tindakan menggulingkan atau cuba menjatuhkan kerajaan secara kekerasan merupakan perbuatan bertentangan dengan norma politik Islam.

Katanya pada zaman khalifah Islam terdahulu, meskipun pemerintah disifatkan sebagai zalim, namun para ulama tidak sampai ke tahap untuk menggulingkan secara kekerasan kerana sedia maklum akan wujud keadaan kacau-bilau disebabkan tiada kerajaan yang memerintah.

"Penggulingan sesuatu yang dibenci oleh Islam dan tidak pernah disokong oleh Ahli Sunnah wal-Jamaah... soal penggulingan memang mudah dilakukan namun selepas itu apa yang akan berlaku (kesannya) terhadap rakyat dan negara tidak pula difikirkan," katanya.

Ahmad Fauzi turut mempersoalkan tindakan Anwar yang mengheret rakyat untuk bersama-sama menggulingkan kerajaan atas alasan tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13.

"Kenapa perlu penggulingan? Lihat kepada trend pengundi pakatan pembangkang ia meningkat sejak 2004, 2008 dan 2013... prestasi bertambah baik. Jadi saya percaya mereka tidak perlu gulingkan kerajaan cuma perlu usaha lagi sekiranya ingin menang dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

"Anwar mungkin mempunyai agenda peribadi (ingin jadi Perdana Menteri). Dengan faktor usia, beliau tidak boleh menunggu lebih lama untuk mencapai hasratnya sedangkan pemimpin pakatan yang lain tidak kisah sekiranya Anwar tidak menjadi Perdana Menteri kerana masih ramai pemimpin muda dalam pakatan," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana