Analisis PRU-13: Mengapa keyakinan terhakis di Terengganu?


BARISAN Nasional (BN) kembali membentuk kerajaan di negeri Terengganu setelah rakyat memberikan mandat untuk terus menerajui pemerintahan selama satu penggal lagi namun dengan ikatan kepercayaan yang makin longgar dan keyakinan yang seolah-olah makin menipis.

Sebanyak 17 kerusi DUN daripada 32 kerusi yang beransur-ansur terkumpul hingga lewat malam untuk disahkan dapat kembali berkuasa dengan majoriti mudah, menjadikan setiap detik menunggu itu begitu mendebar dan meresahkan bagi pemimpin, penyokong BN dan juga pembangkang.

Ini merupakan penggal ketiga berturut-turut kerajaan BN bertahan selepas berjaya mengambil alih semula daripada Pas yang cuma sepenggal dan kemudiannya ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Ketika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan akan berlaku arus perubahan besar yang dapat menumbangkan BN tetapi ternyata bulan tidak mengambang penuh dan Tuhan masih belum merestui doanya apabila pakatan pembangkang meraih 15 kerusi (14 Pas, 1 PKR).

Bersangka baiklah dengan keputusan dilakar, usah dikaitkan dengan persoalan titik bengik dalam menerima kenyataan dengan sesekali melihat ada rahmat dan hikmah bagi BN dan pembangkang malah kepada rakyat keseluruhannya.

Pas mengimpikan untuk kembali ke Wisma Darul Iman sebagaimana yang diperoleh semasa `tsunami' politik melanda pada PRU-10 1999, apabila ia menguasai kesemua kerusi Parlimen dan 28 DUN, cuma kalah di Seberang Takir, Ajil, Telemung dan Kemasek.

Namun pada PRU-11 2004, parti itu yang diberi peluang untuk menterjemahkan segala kandungan ceramah, kehilangan semua Parlimen dan tinggal 4 DUN tradisinya iaitu Wakaf Mempelam, Batu Buruk, Ru Rendang dan Manir.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, BN menguasai tujuh Parlimen dan 24 DUN manakala Pas memenangi satu kerusi Parlimen dan lapan DUN sementara PKR yang bertanding di dua Parlimen lima DUN tewas kesemuanya.

Kesemua lapan DUN yang dimenangi Pas dalam PRU lalu Bukit Tunggal (majoriti336), Wakaf Mempelam (majoriti 2193), Ladang (31), Batu Buruk (1,161), Bukit Payung (.115), Ru Rendang (2,686), Manir (.432) dan Sura (1,000) terus dikekalkan dalam PRU-13.

Dan ia berjaya meraih enam daripada lapan DUN yang tewas dengan majoriti kurang dari 1,000 undi iaitu Tepuh (majoriti 430), Teluk Pasu (462), Alur Limbat (799), Rantau Abang (790), Paka (344) dan Cukai (.769).

Rakan pakatannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula bertapak di DUN Bandar, di kawasan 38 peratus pengundi Cina, ketika PRU lalu ia tewas dengan majoriti 1,142 undi.

Bagi kerusi Parlimen pula, antara kerusi yang berpotensi untuk Pas menambahkan bilangan ialah Kuala Nerus (majoriti 1,341) di samping Dungun (4,994) dan ternyata benar, namun situasi politik semasa memberikan kelebihan satu lagi kerusi kepadanya iaitu Kuala Terengganu selain Marang yang dimenangi dulunya.

Seperti lazimnya, selepas keputusan diketahui akan ada cerita tentang `post-mortem' tentang faktor yang menambahkan kerusi Pas dan yang mendorong kepada kemerosoton sokongan terhadap BN dengan petunjuk yang diberikan.

Ada yang berkata, sepanjang lima tahun Pas berusaha untuk memenangi dengan sasaran kawasan pilihan dan mereka tidak jemu-jemu ketika pemimpin BN mungkin makin terleka, dibuai dengan kedudukan.

Ini ditambah dengan faktor pengundi baru atau muda, dari dalam dan di luar negeri ini yang meningkat lebih 100,0000 di dalam mencorakkan kemenangan mana-mana parti dan jelas mereka lebih terarah kepada pembangkang.

Mengapa BN makin jauh daripada mereka dan apakah kebaikan lain yang mereka harapkan atau sememangnya fenomena biasa bagi mereka dalam usia begitu di mana sahaja atau tarikan Pas lebih kuat dengan sikapnya terbuka dan liberal, sedia pula bersengkongkol dengan sesiapa sahaja.

Namun di sini, di manakah kelebihan Pas selain memanfaatkan ikon-ikon muda bersandarkan agama yang dijaja sebagai pelaris ceramah yang kemudian menjadi tarikan dan ikutan mereka sehingga menutup pandangan kepada BN.

Ketika mereka mengetengahkan muka baru yang lebih segar pula, BN pula dilihat tidak gundah dengan penampilan sebilangan calon yang boleh dipersoal namun ada kalangan yang dianggap cukup baik dan tidak sepatutnya diketepi juga tidak menjadi pilihan pengundi.

Adakah peralihan arah pengundi Cina secara hampir total telah membantu mengecilkan kerusi BN yang dilihat bukan sahaja di DUN Bandar dengan peratusan mereka yang menjadi penentu tetapi juga di Sura dan Cukai.

Atau mungkinkah mainan persepi terhadap kepimpinan BN negeri menjadi senjata politik mudah yang hampir merebahkan BN.

Dengan pelbagai usaha dilakukan untuk kebaikan rakyat, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang pertama kali berusaha mendapat mandat rakyat tentunya merasa agak kecewa namun peluang yang terus diberikan membolehkan beliau dan BN bermuhasabah.

Beliau perlu mencari di mana titik-titik kelemahan yang mungkin dibiarkan bertaburan selama ini, selain isu luaran yang sukar ditahan dan Abdul Hadi juga perlu menilai mengapa Tuhan masih menangguhkan kemenangan yang ingin dikecap semula sebelum memejamkan mata.

Semoga lima tahun lagi tidak akan menjadi lebih panjang dengan permainan politik tidak berkesudahan dalam kehidupan rakyat.

Demokrasi sentiasa membuka peluang bagi setiap individu membuat pilihan tentang siapa dan parti mana yang mereka suka ketika itu, walau pun tidak memberi apa-apa. Yang menang dan kalah adalah kita - rakyat yang sepatutnya mengharapkan apa yang terbaik.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana