Ahli MCA dirayu jangan tinggal parti


KUALA LUMPUR 10 Mei - Ahli-ahli MCA, khususnya generasi muda dirayu supaya tidak meninggalkan parti yang kini berdepan dengan situasi sukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bekas Presiden MCA, Tan Koon Swan berkata, mereka mesti terus memberikan kepercayaan kepada MCA agar parti kembali stabil dan berupaya berkhidmat kepada rakyat.

Menurut beliau, MCA perlu melakukan perubahan terhadap barisan pucuk pimpinannya dengan mengetengahkan lebih ramai pemimpin muda.

"Kami percaya pemimpin-pemimpin baharu lebih berkemampuan untuk memulihkan parti di tempat yang sepatutnya di dalam masyarakat," katanya dalam sidang akbar anjuran tokoh-tokoh veteran MCA di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini hari ini.

Yang turut hadir Tan Sri Lim Ah Lek, Tan Sri Lee Kim Sai, Tan Sri Wong Sea Wah, Tan Sri Dr. Sak Cheng Lum, Tan Sri Lau Yin Pin, Datuk Jimmy Lau, Datuk Fu Ah Kiow, Datuk Wong Kam Hong dan Wang Choon Wing.

Kesemua tokoh veteran MCA itu juga mendesak Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek meletak jawatan berikutan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

MCA hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Koon Swan menambah, konsep perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN) merupakan kaedah terbaik bagi menjamin kepentingan semua kaum di negara ini sejak merdeka.

Sementara itu, Ah Lek yang juga bekas Timbalan Presiden MCA memberitahu, MCA perlu memperbaiki imejnya agar lebih efektif dalam usaha memulihkan keyakinan masyarakat Cina terhadap parti.

"Semasa berkempen, ahli-ahli akar umbi memberitahu saya mereka suka kepada calon yang diketengahkan tetapi tidak menyokongnya kerana masalah dalaman parti," jelasnya.

Kata beliau, MCA seharusnya memberikan peluang kepada muka-muka baharu dengan imej yang bersih mengambil alih barisan kepimpinan parti.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana