Zambry: Kamilia tiada prinsip


LUMUT: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahan kerusi Parlimen Kuala Kangsar tidak tergugat dengan tindakan bekas Naib Ketua Umno, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Beliau sudah buat keputusan, jadi kita (BN) anggap beliau bukan calon BN dan kita terima keputusannya... BN tidak bimbang dengan peluang untuk menang meskipun beliau bertanding di situ dan kita akan lawan.

"Namun saya kecewa apabila beliau menjadi orang yang tidak ada prinsip selepas tidak dapat menerima keputusan parti yang menawarkannya bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun Bukit Chandan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Majlis Perbandaran Manjung di sini hari ini.

Beliau berkata, Kamilia (yang dipecat secara automatik sebagai anggota Umno hari ini) sepatutnya mencontohi mereka yang senior dan mempunyai jawatan lebih tinggi daripadanya seperti bekas Presiden Gerakan mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M. Kayveas yang sanggup bertanding kerusi Dun.

"Meskipun Kayveas memegang jawatan presiden parti namun beliau dengan rendah hati menerima amanah daripada BN untuk bertanding kerusi Dun Pasir Berdamar... jadi saya tidak fahamlah kenapa ini yang berlaku," katanya.

Keng Yaik juga pernah bertanding kerusi negeri Jalong, Perak pada PRU 1978 walaupun ketika itu beliau merupakan timbalan presiden Gerakan.

Zambry berkata, BN telah buat yang terbaik dan memberikan kedudukan yang sebaik-baiknya malah telah memberitahu alasan mengapa, tetapi Kamilia tetap juga dengan pendirian beliau.

Pemilihan calon BN dibuat selepas mendapatkan maklum balas daripada anggota dan rakyat peringkat akar umbi sebelum pucuk pimpinan tertinggi membuat keputusan muktamad, katanya.

Mengulas pertandingan tiga penjuru yang akan dihadapinya bagi kerusi Dun Pangkor, Zambry berkata beliau tiada masalah untuk bertanding dengan sesiapa sahaja.

Zambry akan dicabar calon PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dan calon Bebas Benard Parenpa.

"Calon Bebas itu kita tak kenal, dengar kata dia dari Selangor, bukan tempatan tetapi tiada masalah. Saya boleh faham mengapa, mungkin mereka tidak mahu beri laluan mudah tetapi dalam proses demokrasi sesiapa pun boleh bertanding," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana