PRU-13: TIBAI jangka Nik Aziz akan label penerima komputer riba sebagai haiwan


TUMPAT 9 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka menyifatkan anak-anak yang akan menerima bantuan komputer riba yang dijanjikan oleh Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti sebagai 'haiwan'.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Zahid Mat Arip berkata, tindakan tersebut tidak pelik kerana Menteri Besar Kelantan itu sebelum ini pernah menyifatkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai haiwan.

Beliau berkata, sememangnya sikap pemimpin Pas, terutama Nik Abdul Aziz, untuk memandang remeh setiap usaha yang dilakukan oleh BN untuk membantu rakyat.

"Saya yakin BN akan dapat melaksanakan manifestonya untuk memberi komputer riba kepada para pelajar. Rekod telah membuktikan bahawa BN telah menunaikan semua janji-janjinya sebelum ini.

"Oleh itu, saya jangkakan usaha BN untuk memberi komputer riba kepada para pelajar akan dipandang remeh oleh Nik Abdul Aziz, dan saya yakin anak-anak kita yang menerima komputer riba itu akan dianggap seperti haiwan seperti mana yang dilakukannya terhadap penerima BR1M," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Ceramah Umum Rahsia Besar Anwar di Kampung Geting di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Nor Zahidi Omar dan Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad.

Pada majlis yang dihadiri lebih 3,000 orang itu, seramai 98 pemandu lori ikan di kawasan tersebut menerima pelekat 'T', iaitu logo Gerakan Tukar Kerajaan Pas Kelantan (Tukar) untuk ditampalkan di kenderaan mereka.

Ia adalah manifestasi kumpulan tersebut untuk menolak Pas daripada terus memerintah negeri ini.

Sementara itu, Zahid meminta Nik Abdul Aziz supaya berhenti daripada memperbodohkan rayat dengan pelancaran projek-projek mega.

"Bagi saya Nik Abdul Aziz cetek pengetahuannya, kerana sebelum ini beliau melancarkan pecah tanah projek stadium baharu Kelantan yang bernilai kira-kira RM300 juta. Beliau juga menyatakan bahawa stadium tersebut terbaik di dunia.

"Saya hendak memberitahu di sini bahawa stadium terbaik dunia adalah Stadium Sarang Burung di China yang melibatkan kos sebanyak RM1.4 bilion. Apakah dengan nilai RM300 juta kita dapat membina sebuah stadium yang terbaik di dunia?

"Jadi berhentilah memperbodohkan rakyat dengan janji-janji kosong dan bagi saya majlis pecah tanah ini tidak lebih sekadar untuk menambah koleksi batu asas di negeri ini," katanya.

Pada masa yang sama, beliau terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor terhadap ceramah tersebut.

Katanya, ia membuktikan bahawa rakyat negeri ini mahu berubah dan menolak kerajaan Pas Kelantan.

"Saya pernah datang berceramah di sini tetapi yang datang hanya sekitar 400 orang tetapi keadaan hari ini amat berbeza, lebih 3,000 orang yang hadir," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana