'Pemimpin, penyokong Pas turut sokong saya'


SHAH ALAM 17 April - Bekas Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin mendakwa pencalonannya sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Shah Alam turut mendapat sokongan beberapa tokoh dan pemimpin Pas negeri serta pusat.

Sehubungan itu katanya, dengan bantuan dan dokongan kuat jentera BN Shah Alam, beliau yakin dapat menggugat kubu 'lawannya' iaitu Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Khalid Abdul Samad.

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) itu juga percaya dapat menarik undi daripada penyokong Pas yang telah muak dengan perjuangan parti berkenaan yang semakin menyimpang daripada tujuan asal penubuhannya.

"Sebaik sahaja saya diumumkan sebagai calon, saya menerima lebih 500 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada mereka yang mengucapkan tahniah dan menyokong saya termasuk daripada tokoh dan pemimpin Pas. Petang ini sahaja, ada 96 SMS yang belum saya baca.

"Itu belum termasuk komen di laman sosial Facebook, Twitter dan panggilan telefon. Tetapi yang paling saya terkejut ialah panggilan daripada salah seorang pemimpin Pas yang menyokong saya dan berharap saya akan menang kerusi Parlimen Shah Alam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zulkifli berkata, beliau juga telah bersiap sedia untuk menjawab segala isu yang bakal ditimbulkan pembangkang antaranya mendakwa dirinya seorang ekstremis dan cauvinis.

"Mereka yang ajar saya politik pelampau dan jadi begitu (ekstremis dan cauvinis). Kini saya bersama BN dan menyokong aspirasi dan transformasi yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pencalonan saya di Shah Alam juga adalah bukti transformasi Perdana Menteri iaitu tidak hanya mengamalkan cara tradisional tetapi turut mengambil orang yang tidak berparti menjadi calon.

"Saya yakin 100 peratus akan memenangi kerusi Parlimen Shah Alam bersama dokongan BN," katanya.

Zulkifli merupakan peguam yang pernah mewakili ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuat terhadap rakan sekutunya Pas, Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP pada 2010.

Beliau yang terkenal dengan tindakan menentang arus dalam PKR bertindak keluar daripada sidang Lembaga Disiplin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana