KENYATAAN AKHBAR DATO’ DR HASAN MOHD ALI MENGENAI KENYATAAN TERKINI KARPAL SINGH BERHUBUNG DENGAN KALIMAH ALLAH


Saya terpanggil untuk membuat sedikit ulasan mengenai kenyataan Karpal Singh berhubung dengan isu kalimah Allah yang dimuatkan dalam beberapa portal berita hari ini.

Karpal dalam kenyataannya menyebut bahawa Pakatan Rakyat tetap bertegas berpegang kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan tersebut pada 8 Januari 2013. Beliau tetap bertegas tidak menerima keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 30 Januari 2013 yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut Agama Kristian dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Karpal Singh mendakwa bahawa majoriti 2/3 (DAP dan PKR) mengambil pendirian yang sama dengan apa yang beliau pertahankan selama ini. Karpal dipetik sebagai berkata “Majlis Syura Ulama PAS adalah satu bahagian kecil dan tidak mewakili majoriti. Keputusan Majlis Syura tidak boleh atasi keputusan yang diumumkan ketiga-tiga pemimpin utama PR”.

Kenyataan Karpal Singh boleh ditafsirkan sebagai:

a. Memperkecilkan Majlis Syura Ulama PAS yang merupakan badan tertinggi Parti Islam itu yang bertanggungjawab menentukan dasar dan halatuju parti;
b. Menggambarkan kejahilan Karpal terhadap Islam khususnya hal yang berkaitan dengan aqidah. Seperti yang dimaklumi, penerimaan dan amalan aqidah tidak boleh diukur melalui peratusan angka atau atas sokongan majoriti;
c. Menggambarkan kejahilan Karpal untuk memahami struktur, roh dan semangat jaluran kepimpinan PAS terutama yang berkaitan dengan kedudukan Majlis Syura Ulama dan kedudukan golongan ulama itu sendiri yang dislogankan sebagai “Kepimpinan Ulama”;
d. Karpal memandang remeh terhadap ketegasan pimpinan ulama seperti Prof Dato’ Haron Din, Datuk Harun Taib dan pimpinan ulama yang lain yang sanggup mempertahankan keputusan yang dibuat hingga ke akhir hayat; dan
e. Kegagalan Karpal memahami citarasa dan hati budi ahli dan penyokong PAS dengan keimanan yang mekar subur di dada sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kesucian Islam.
f. Menghina kebolehan, kemampuan dan sumbangan PAS dalam Pakatan Rakyat. PAS dikatakan menyumbang dalam peratusan satu pertiga daripada kekuatan Pakatan Rakyat. Sedangkan seperti yang diketahui PAS lah yang mempunyai tenaga jentera pilihanraya yang kuat yang boleh diagihkan bukan sahaja untuk kegunaan PAS, tetapi seperti yang berlaku dalam PRU ke 12 juga untuk PKR dan DAP.

Atas kejahilan dan ketidakmampuan orang seperti Karpal Singh untuk memahami tuntutan Islam terhadap penganutnya, sampai kucing bertanduk pun tidak mungkin mereka boleh bersetuju dan akur dengan keputusan-keputusan yang dibuat oleh PAS.

Selamanyalah Karpal dan orang-orang sepertinya akan memperlekeh dan memperleceh tindakan PAS dan selamanya jugalah sanggahan, bantahan dan penolakan yang kadang-kadang di luar rangka akhlak akan dilakukan oleh manusia-manusia seperti ini. Pastinya tidak akan wujud keharmonian dan kedamaian diantara ketiga-tiga parti dan keadaan ini akan mempengaruhi dan memberi kesan negatif kepada ahli dan penyokong masing-masing.

Jalan yang masih terbuka untuk PAS tidak lain daripada meletakkan tanda noktah yang besar dan jelas terhadap penyertaan PAS dalam Pakatan Rakyat. Tanda noktah tersebut perlu diletakkan sekarang juga. Ramai mengatakan tidak ada gunanya lagi PAS menghabiskan masa untuk bereksperimen dengan rakan kongsi yang “hostile” terhadap apa yang diperjuangkan oleh Parti Islam itu. Menoleh 5 tahun ke belakang, hampir tidak ada satupun yang diusulkan oleh PAS diterima oleh DAP dan PKR.

Sayangnya pimpinan PAS masih tidur lena sambil melayan mimpi untuk menawan Putrajaya.

YB DATO’ DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
18 Februari 2013

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana