Tamatkan kontrak SYABAS: CASSA selar MB
SHAH ALAM: Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Selangor yang mahu mengambil alih dalam operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) selain mahu menamatkan perjanjian dengan syarikat itu.
Dr Jacob berkata, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menganggap tindakan mengambil alih syarikat konsesi air itu satu tanggungjawab mudah kerana pelbagai aspek perlu diberi perhatian selain pengalaman dan kepakaran.
Sebaliknya beliau berkata, kerajaan negeri seharusnya bersikap lebih bertoleransi dalam menghulurkan bantuan kepada syarikat tersebut bagi menangani krisis bekalan air di negeri itu."(Pengambilalihan SYABAS) tidak boleh diselesaikan sebab masalah ini bukan perkara yang mudah, terdapat pelbagai perkara harus diambil kira, penstrukturan, kewangan, pengurusan ban dan banyak lagi.
"Jika ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran, mereka (kerajaan negeri) boleh berbincang kerana kerajaan negeri ada 30 peratus pegangan saham dalam SYABAS," katanya kepada Antarapos.
Malah, Jacob mendakwa krisis air di Selangor akan menjadi semakin parah jika syarikat konsesi air itu diurus tadbir oleh pakatan pembangkang.
"Jika kerajaan negeri ambil alih pengurusan air masalah akan jadi lebih teruk di Selangor sebab saya tidak yakin dengan pemerintahan Pakatan di negeri Selangor," katanya.
Tambahnya lagi, masalah kekurangan bekalan air yang dialami rakyat negeri itu tidak akan selesai selagi pemimpin pakatan pembangkang terus-menerus mengkritik SYABAS sebagai gagal mengurus tadbir sumber air Selangor.Jacob selain itu turut menyifatkan tindakan kerajaan negeri untuk mengambil alih syarikat konsesi air itu sebagai mempunyai agenda tersendiri sekaligus menjadi pemegang saham terbesar dalam SYABAS."Jika dia betul-betul mahu ambil semua projek mereka (kerajaan negeri) boleh beli semua projek tersebut dengan harga yang sepatutnya."Tidak perlu berpura-pura jaga hak pengguna tetapi kutuk mengutuk, fitnah, caci-mencaci dan sebagainya," katanya.
Selangor bakal berdepan masalah kekurangan bekalan air yang serius dalam tempoh dua tahun lagi jika kerajaan negeri tidak mengambil sebarang langkah mengatasinya dari sekarang.
Sehubungan itu, kerajaan negeri Selangor dilihat nekad untuk mengambil alih operasi air di negeri itu dengan hasrat menamatkan perjanjian konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam masa terdekat.
Menteri Besar semalam mengulangi pendiriannya untuk mengambil alih dalam operasi SYABAS memberi alasan bahawa syarikat air itu gagal memenuhi tanggungjawab di bawah perjanjian konsesi.SYABAS pada 8 Januari lalu tampil menyangkal dakwaan yang dibuat Khalid bahawa kekurangan air di Lembah Klang berpunca daripada pam kedua Rumah Pam di Wangsa Maju rosak lebih setahun tanpa dibaiki.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Ir. Lee Miang Koi dengan tegas menafikan tuduhan berkenaan memandangkan semua kelima-lima pam di Wangsa Maju beroperasi dengan baik dengan tiada kerosakan dilaporkan tetapi gagal memenuhi permintaan air terawat yang mencukupi.

Comments