Penjelasan Hadi di TV ada agenda tersendiri


PUTRAJAYA: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan menyifatkan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu memberi penjelasan di stesen TV tempatan berhubung amanatnya pada 1981 yang didakwa mengkafirkan Umno mempunyai agenda tersendiri.Malah, ia juga memperlihatkan PAS lebih mengutamakan politik daripada kepentingan akidah umat Islam.
  Justeru, Ahmad Maslan mengesorkan supaya Hadi mengadakan sidang akhbar terbuka atau melalui web TV mengenai amanatnya tanpa perlu memberi penjelasan secara langsung di stesen televisyen tempatan."Mungkin ada tujuan-tujuan tertentu. Tapi pada saya panggil sidang akhbar lagi ramai boleh datang. Ia boleh disiar secara langsung oleh segala web TV. Nak panggil stesen TV luar negara pun boleh," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, hari ini.
Ahmad berkata pada sidang akhbar Sabtu lepas selepas sekian lama berdiam diri daripada menjawab isu berkenaan, Hadi tidak memaklumkan untuk menarik semula amanat itu, tetapi hanya ingin memberi penjelasan."Mudah-mudahan dia akan tarik amanat itu. Tapi kelihatannya sukar. Saya kira kalau dia menarik balik amanat itu dan memohon maaf, dia berjiwa besar seperti Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia."Walaupun tak nampak apa salah perdana menteri, tapi (memohon maaf) bagi pihak pemimpin yang tidak turun padang, yang tidak melaksanakan tugas dengan baik yang menyebabkan kekalahan pada pilihan raya umum 2008," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Sebelum itu, Abdul Hadi berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.
Abdul Hadi berkata, jika diberi peluang itu, beliau akan menjelaskan segalanya berkaitan amanat beliau mengkafirkan Umno supaya masyarakat dapat menilainya.Bagaimanapun Hadi tidak menjelaskan kenapa beliau hanya mahu memberikan penjelasan itu menerusi TV sedangkan ada banyak saluran lain termasuk media siber untuk beliau berbuat demikian.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Hadi membuat penarikan balik secara rasmi amanat itu yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.
Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Tiba Masanya UMNO Sendiri, Lupakan BN

MP DAP Jelutong sudah berani cakap 'kepala bapak' di Parlimen...Memang Biadap Betul