Pendapat berbeza bahayakan akidah ahli PAS
SHAH ALAM: Percanggahan pendapat dikalangan pemimpin tertinggi PAS bersabit isu penggunaan kalimah Allah hanya akan mengelirukan ahli dan penyokong PAS, kata Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau berkata demikian mengulas pendirian Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang kononnya mengulangi kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa orang bukan Islam boleh menggunapakai kalimah Allah sepertimana orang Islam.
Mohamad Sabu berkata, polemik penggunaan kalimah Allah hanya timbul di Semenanjung Malaysia akan tetapi tidak pernah menjadi masalah dikalangan penganut Islam dan Kristian di Timur Tengah dan Malaysia Timur.
Justeru Hasan berkata ahli dan penyokong PAS kini terdedah kepada kekeliruan akidah dan ia akan membahayakan umat Islam jika ia berterusan tanpa pendirian tuntas daripada pemimpin PAS."Sukar bagi kita menggambarkan bagaimana bercelarunya ahli dan penyokong PAS dan masyarakat Islam di negara ini.
"Tak cukup dengan kekeliruan Amanat Hadi Awang ditambah pula dengan kecamukan pandangan pimpinan tertinggi parti tersebut dalam isu yang sangat besar yang melibatkan akidah Umat Islam," katanya melalui kenyataan media yang dihantar kepada Antarapos.
Hasan kemudiannya merujuk kepada ketegasan pendirian Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman, beberapa hari lalu bahawa kalimah Allah hanya eksklusif untuk orang Islam sahaja.Mereka bersetuju orang bukan Islam seharusnya menggunakan perkataan 'god' yang membawa makna Tuhan dalam urusan keagamaan mereka.
Hasan juga memetik kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din bahawa orang Islam yang mencadangkan dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, telah melakukan perbuatan syirik dan kufur.
Hasan berkata kontroversi kalimah Allah itu jelas menunjukkan pengaruh golongan Anwarinas dalam PAS amat besar sekaligus mengancam dasar perjuangan PAS.
"Apa sahaja permintaan DAP dan PKR seperti kalimah Allah diraikan sedemikian rupa.
"Pimpinan tertinggi PAS yang dikuasai golongan parasit dilihat sentiasa bersedia memberi laluan kepada apa sahaja tuntutan DAP dan PKR termasuk perkara-perkara yang melibatkan aqidah," ujarnya.

Comments