Hampir 400 ahli badan bukan
kerajaan mengadakan perhimpunan aman di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah
Merah di sini semalam bagi membantah tindakan kerajaan Pas Kelantan
'menyerahkan' lebih 4,000 hektar tanah kepada dua pemimpin DAP
Perak.
Pada masa sama, gabungan NGO yang
diketuai bekas Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ir. Shaari Hassan turut
membantah tindakan Majlis Daerah Tanah Merah mengambil Padang Merdeka untuk
membina bangunan komersial.
Perhimpunan itu diadakan selepas
gabungan itu membuat laporan polis pada pukul 3 petang.
Menurut Shaari, kedua-dua salinan
laporan itu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk
memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan.
"Kami kecewa dengan tindakan kerajaan
negeri berhubung kedua-dua isu ini. Pengambilan tanah yang dikenali sebagai
Padang Merdeka untuk tujuan pembangunan menyebabkan rakyat Tanah Merah tiada
tempat untuk beriadah.
Tegasnya, kedua-dua isu tersebut
melibatkan harta rakyat dan ia sewenang-wenangnya 'digadai' oleh kerajaan
Pas Kelantan. - Kosmo!
