Fenomena 'Listen' kerja pembangkang: Sharifah
SHAH ALAM: Presiden Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen mendakwa fenomena 'Listen' yang tercetus melalui klip rakaman video yang dikaitkan dengan beliau pada forum anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) 8 Januari lalu diputar belit untuk kepentingan pembangkang.Dalam kenyataan medianya, Sharifah kesal beliau dikecam orang ramai termasuk ahli politik tanpa usul periksa.Menurut beliau, ia hanya melibatkan isu komunikasi antara dirinya dengan seorang pelajar dalam forum berkenaan dan tidak berniat untuk mengutuk pelajar berkenaan mahupun menyekat kebebasan bersuara.Sharifah turut kesal dengan sikap tidak profesional sesetengah ahli politik yang melemparkan tuduhan terhadapnya."Saya bimbang keselamatan keluarga saya memandangkan saya telah menerima ugutan melalui SMS yang tidak bertanggungjawab daripada individu, kumpulan dan parti politik.
"Semua kenyataan yang menyerang maruah dan profesionalism saya bertujuan untuk memusnahkan reputasi dan menghancurkan kredibiliti NGO SW1M."Biar saya jelaskan, tiada tindakan untuk mengutuk pelajar di negara ini ataupun mengabaikan kebebasan untuk bersuara. Isu ini telah diputar belit untuk mendapatkan sokongan emosi parti pembangkang. Saya tidak berminat untuk berhujah mengenai perkara ini untuk kepentingan NGO SW1M," memetik kenyataan media.Sehubungan dengan itu, Sharifah menggesa agar masyarakat umum tidak terus mengheret UUM ke dalam isu tersebut justeru memberi perhatian terhadap isu-isu utama seperti krisis air di Selangor yang melibatkan lebih ramai wanita dan anak-anak kecil.
Klip rakaman video lebih 20 minit yang dimuat naik di laman Youtube minggu lalu memaparkan Sharifah dan seorang pelajar tahun dua jurusan perundangan UUM, KS Bawani membahaskan isu tuntutan pembangkang.
Dalam video tersebut, Sharifah mengulangi perkataan 'Listen' lebih 10 kali sebelum mengambil mikrofon daripada Bawani.
Video yang telah disaksikan lebih 600,000 kali itu mendapat kritikan ramai pihak mendakwa Sharifah seolah-olah menindas Bawani selain menyekat kebebasan bersuara.

Comments