Beranikah Dewan Ulama PAS menyanggah Hadi Awang?
[ULASAN] Isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Malaysia pusingan kedua ini dimulakan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Dalam perutusan hari Krismasnya bulan lalu, beliau menggesa kerajaan mengizinkan perkataan Allah digunakan dalam Bible di Malaysia.Namun apabila gesaan itu mendapat reaksi marah pelbagai badan dan persatuan serta ulama Islam, Guan Eng membuat paluan berundur. Setiausaha Politiknya, Zairil Khir Johari diarah supaya membuat pembetulan.
Kononnya, kata Zairil, Guan Eng tidak bermaksud mahu perkataan Allah digunakan dalam Bible berbahasa Malaysia di seluruh Malaysia tetapi cukup sekadar di Sabah dan Sarawak sahaja. Umum tahu penjelasan itu adalah satu penyelewengan fakta.
Namun itu bukan isunya di sini, “penjelasan” Zairil itu sudah cukup untuk disimpulkan menyatakan bahawa Guan Eng secara rasminya sudah menarik balik gesaan berhubung isu perkataan Allah dalam Bible ini.
Guan Eng sudah meninggalkan gelanggang polemik isu kalimah Allah. Namun yang menyedihkan ialah perbalahan berhubung isu wajar atau tidak dan sama ada boleh atau tidak nama Allah diguna dalam Bible ini sengaja diperhebatkan oleh seorang pemimpin beragama Islam bernama Anwar Ibrahim.
Rakyat keliru pendirian pembangkang
Sebagai pengemudi Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim berpendapat bahawa isu itu serius dan segera memanggil mesyuarat pimpinan PKR, DAP dan PAS Selasa, 8 Januari lalu untuk menetapkan pendirian pembangkang.
Urutan peristiwanya ialah Guan Eng cetuskan isu kalimah dan segera berundur. Anwar pula nampak “kebijaksanaan” Guan Eng membuat provokasi berkenaan dan sebagai seorang politikus menyambar peluang menambah sokongan daripada pengundi bukan Islam dalam pilihan raya umum ke-13.
Jika emosi rakyat bukan Islam, terutama yang beragama Kristian boleh diuja, peluang untuk meraih undi mereka terutama di Sabah dan Sarawak akan lebih besar. Anwar mahu Pakatan Rakyat menjadi wira Kristian. Jika kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible bahasa Malaysia, tentu ia dianggap kemenangan bagi rakyat Kristian di Sabah dan Sarawak.
Hasil mesyuarat Pakatan Rakyat memang sudah diduga. Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa istilah Allah boleh diguna pakai dalam Bible bahasa Malaysia.
Boleh dibayangkan betapa bergemuruh sorak sorai hati orang Kristian di Malaysia apabila PAS menyatakan bahawa mereka boleh berkongsi menggunakan kalimah Allah dalam Bible mereka.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menganggap keputusan itu adalah satu ikhtiar dakwah ke atas orang Kristian di Malaysia. Namun penjelasan kedua-dua ulama itu tidak meredakan isu berkenaan.
Anwar mahu raih undi
Sebenarnya isu ini masih dalam pertimbangan Mahkamah Rayuan. Pihak berkuasa masih dalam proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan majalah katolik The Herald. Oleh itu inisiatif Guan Eng itu memang melanggar peraturan mahkamah.
Tanpa menghiraukan soal keluhuran undang-undang, Anwar Ibrahim terus menonjolkan dirinya sebagai jaguh rakyat bukan Melayu dan bukan Islam, khususnya Kristian di Malaysia.
Umum maklum, masyarakat dan gerakan Kristian di Malaysia kuat pengaruh dan besar kuasa serta sumber kewangannya. Itu yang hendak dipancing Anwar.
Namun yang menyedihkan ialah PAS. Walaupun Dewan Ulamanya menunjukkan sikap berhati-hati (malah lebih cemburu pada pemikiran Haji Hadi yang sekonyong-konyong didorong oleh laba politik), suara hati dan panduan agama mereka tidak diambil kira oleh pemimpin tertinggi PAS.
Ikut jadual, esok Sabtu 12 Januari Dewan Syura Ulama akan bermuzakarah mengenai isu ini. Apakah dewan ini mempunyai keazaman politik yang kuat untuk menterbalikkan keputusan Haji Hadi?
Atau, adakah fungsi dan kedudukan ulama dalam PAS hanya akan menjadi hanya satu kotak dalam rajah organisasi dalam PAS sahaja?
Pendirian ulama kekal
Menyamakan erti Allah yang Esa dengan kefahaman manusia bahawa Tuhan yang dipanggil Allah oleh orang Kristian adalah tiga – Tuhan, Anak Tuhan dan Ruhul Kudus – adalah syirik. Dewan Syura Ulama PAS kena tegas dan jelas dalam isu ini. Ia harus yakin bahawa ini bukan soal sifir dan keuntungan politik, ia adalah soal aqidah.
Umat Kristian Malaysia meminta sedikit ruang untuk menggunakan istilah yang lebih tepat untuk menjelaskan siapakah itu Tuhan. Mereka selesa jika kalimah Allah diberi izin untuk diguna pakai.
Namun umat Islam Malaysia ternyata tidak selesa dengan permintaan ini. Bagi mereka kesan penggunaannya akan mengelirukan generasi muda Islam. Ia seolah-olah mengangkat batas iman mereka bahawa Allah umat Islam adalah Esa dan mungkin mudah tertarik dengan sikap liberal Kristian yang menganut fahaman bahawa Tuhan itu tiga.


Comments