Balu mangsa Memali dihina PAS, kata Zainon

KUALA LUMPUR: Nasib balu-balu mangsa Memali yang satu ketika dahulu disanjung tinggi oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS kini tidak ketahuan.Tidak cukup dengan dicemuh, mereka dimaki dan diserang dari pelbagai sudut oleh pimpinan PAS akibat menuntut hak mereka mengikut lunas undang-undang negara.
Itulah harga yang terpaksa dibayar mereka di dalam menuntut hak serta membela diri dari ditindas dan diperalatkan oleh pihak yang kononnya mahu membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung susulan kehilangan suami tercinta.

Melihatkan hal ini telah mendorong Zainon Ismail menerbitkan buku ‘Mohd Sabu Air Mata Di Bumi Memali’ dengan menggunakan nama pena C.N Al-Afghani setelah beberapa ikhtiarnya sebelum itu melalui pimpinan PAS menemui jalan buntu.

Laporan salah laku ahli Dewan Negara, Yusuf Husin yang bertanggungjawab menguruskan dana Tabung Memali, tabung yang diwujudkan khas oleh parti Islam itu untuk membantu keluarga yang menerima kesan langsung tragedi berdarah Memali pada 1985, ibarat tidak laku buat Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang ketika itu berjawatan Pengerusi Disiplin PAS Pusat.Alasan yang diberikan Hadi ialah beliau tidak mampu untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Yusuf memandangkan Setiausaha PAS Kawasan Baling itu adalah orang kuat kepada mantan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.Tindakan beliau melaporkan perkara tersebut kepada Hadi telah membangkitkan kemarahan Setiausaha Pejabat Perhubungan PAS Kedah ketika itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (kini Menteri Besar Kedah) kerana meminggirkan peranan PAS negeri.

Yusuf kebal dalam PAS

“Saya melihat kebajikan dan keperluan balu-balu ini semakin hari semakin mendesak... Pendidikan anak-anak mereka pun tak terurus.
“Saya buat satu laporan salah laku Yusof Husin terhadap duit tabung Memali...tebal saya buat. Dan laporan ini telah saya hantar kepada Pengerusi Disiplin PAS Pusat masa itu iaitu Tuan Guru Haji Hadi sendiri. Lama selepas laporan ini dihantar, tidak diambil tindakan apa-apa.

“Ustaz Hadi apabila dia tengok laporan ini berkenaan dengan Yusof Husin, dia merungut. Dia tak boleh buat apa kerana (Yusuf) orang kuat Ustaz Fadzil..Dia fotostat saya punya laporan kepada Pejabat Perhubungan PAS Kedah yang masa itu Setiausahanya ialah Ustaz Azizan,” katanya.

Menegaskan tidak sanggup lagi melihat balu-balu dan anak-anak yatim Memali tidak diberikan hak mereka telah mendorong Zainon yang mesra disapa ‘Cikgu Non’ membuat laporan polis mewakili kumpulan balu tersebut tentang penyelewengan yang didakwa berlaku.Berharap laporan polis itu akan mendorong tindakan yang telus oleh pimpinan PAS, sebaliknya beliau yang juga merupakan bekas Exco Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah itu dan balu-balu termasuk isteri Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya telah diserang oleh pimpinan parti termasuk menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah.

Dipecat PAS kerana cuba tegakkan kebenaran

“Hak-hak anak yatim dan juga hak-hak balu ini tidak diberikan kepada mereka seperti yang sepatutnya. Selepas saya buat laporan dengan harapan pihak-pihak berkenaan akan mengambil tindakan yang agak telus, malangnya saya diserang oleh pemimpin-pemimpin PAS.
“Setiap sudut saya diserang..Bukan saya sahaja, malah balu-balu yang menyokong tindakan saya termasuk isteri kepada Ustaz Ibrahim Libya, dikecam oleh pihak-pihak tertentu..hantar SMS dengan bahasa lucah dan sebagainya.

“Saya kenal orang-orang berkenaan. Pemimpin..pemimpin yang kenal dengan saya, kenal dengan Ibrahim Libya, kenal dengan isterinya..tiba-tiba kerana kami membuat laporan polis menuntut hak, kami dikecam.

“Bila kita buat laporan polis, menuntut hak kita, kita dikecam hebat oleh pemimpin-pemimpin parti gerakan Islam yang berstatus ulama. Kita menuntut hak kita..hak yang diberi oleh ahli-ahli PAS seluruh negara, bukan sekadar memberi wang malah ada muslimat-muslimat yang mengeluarkan barang emas,” luah ahli seumur hidup PAS ini.Susulan itu juga katanya, beliau telah dipanggil untuk mengadap Jawatankuasa Tatatertib untuk membuktikan dirinya tidak bersalah di dalam membuat dakwaan tersebut.Namun apa yang lebih mengecewakannya adalah apabila beliau tidak diberikan ruang untuk membela diri sebaliknya dipecat daripada parti.“Jawatankuasa Tatatertib panggil saya..masa itu Ustaz Harun Taib Setiausahanya. Sebelum itu saya diberitahu untuk membawa saksi-saksi dan dokumen untuk membuktikan saya tak bersalah.“Tujuan panggil saya untuk menghukum..bukannya nak beri ruang kepada saya membela diri,” tegas beliau.

Jumlah kutipan Tabung Memali disembunyikan

Mengulas lanjut pengalamannya sebagai salah seorang individu yang pernah bertanggungjawab menguruskan dana Tabung Memali yang dihentikan pada tahun 2000 ini, Cikgu Non mendakwa beliau sendiri tidak jelas tentang jumlah keseluruhan wang tabung terbabit.
Beliau hanya boleh menggambarkan jumlahnya sangat banyak memandangkan sejak ia dilancarkan pada tahun 1986, kutipan yang diperoleh pada satu-satu ceramah boleh menjangkau sehingga lebih RM100 ribu.

“Saya ingin maklumkan di sini, satu ceramah yang saya pernah hadir yang disampaikan oleh Haji Hadi di Yan, Kedah, kutipan ceramah pada malam itu sahaja hasilnya RM100 ribu lebih..dan jumlah itu belum lagi dihabis kira..syiling tak masuk..

“Satu malam RM100 ribu, dari tahun 1986 hingga 2000 cuba bayangkan..Sebab itu bila orang tanya saya berapa juta, berapa banyak, saya tak boleh jawab..,” katanya.Untuk rekod, pada tahun 2002, mantan Presiden parti, Allahyarham Fadzil Noor telah mengumumkan penutupan tabung tersebut bagi mengelakkan fitnah.Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 telah mengorbankan seramai 14 orang dan menyaksikan berpuluh yang lain tercedera.

Insiden yang dinamakan ‘Operasi Angkara/Operasi Hapus’ oleh pihak berkuasa itu menyaksikan penahanan beratus-ratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Ia dilaksanakan pihak berkuasa bagi menangani penularan ajaran sesat yang dipercayai cuba dibawa oleh Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya yang turut terbunuh semasa insiden tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Tiba Masanya UMNO Sendiri, Lupakan BN

MP DAP Jelutong sudah berani cakap 'kepala bapak' di Parlimen...Memang Biadap Betul