Azmin sombong, angkuh, kata Hasan Ali
SHAH ALAM: Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang menolak keputusan Majlis Syura Ulama PAS berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible, sebagai biadap dan angkuh.
Azmin pada sidang medianya semalam berkata PKR hanya menerima konsensus yang dibuat Mesyuarat Tertinggi Pakatan Rakyat yang turut dibarisi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali gus menolak ketetapan yang dibuat Majlis Syura.Mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat itu bersetuju kalimah Allah boleh diguna pakai oleh bukan Islam termasuk dalam Bible versi Bahasa Melayu dengan syarat ia tidak disalahgunakan.Manakala Majlis Syura pula melarang kalimah Allah digunakan dalam kitab tersebut kerana akan menimbulkan kekeliruan yang 'nyata'."Secara sombong dan bongkak (beliau) memperakukan keputusan yang dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu ini."Gambaran yang diberi seolah-olah Majlis Presiden menduduki tempat yang supreme yang tidak boleh digugat oleh mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat termasuk PAS dan supremacy ini seharusnya dipertahankan walaupun keputusan tersebut menyalahi peraturan agama Islam yang suci," kata Hasan melalui kenyataan medianya.
Hasan dalam kenyataannya turut berkata Azmin gagal memahami perasaan dan komitmen rakan pakatannya, PAS yang memperjuangkan kesucian agama Islam serta patuh akan keputusan golongan ulama."Azmin gagal memahami perasaan, citarasa, hati kecil dan komitmen ahli dan penyokong PAS yang sentiasa memperjuangkan kesucian agama Islam dan biasanya akur dan patuh kepada keputusan-keputusan golongan ulama termasuk Dewan Ulama dan pastinya Majlis Syura Ulama PAS."Kenyataan Azmin tidak mungkin dapat meredakan keadaan. Ahli dan penyokong PAS yang sudah ditarbiah sedemikian rupa tidak mudah tunduk kepada mana-mana keputusan yang membelakangkan prinsip Islam."Mereka tidak akan tunduk kepada mana-mana individu pimpinan yang diberi kata pemutus di dalam Majlis Presiden kecuali pimpinan PAS, yang terdiri daripada mereka yang bukan Islam dan kalaupun Muslim amalan Islam mereka diragukan," katanya.


Comments