Wednesday, January 9, 2013

Akta Perhimpunan Aman menyusahkan polis - Musa


SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan berpendirian bahawa Akta Perhimpunan Aman 2011 (PAA) menyukarkan lagi tugas anggota polis.Menurut beliau, akta tersebut memberi ruang kepada rakyat lebih bebas menganjurkan perhimpunan untuk sebarang agenda tersendiri, sekaligus "mengecilkan" peranan polis dalam mengenalpasti risiko keselamatan awam.
 "Akta baru sekarang ini membenarkan perhimpunan. Kalau dulu lain, kena dapatkan permit polis dulu.
"Jadi kita lihat (dahulu) sama ada perhimpunan ini tadi akan menggugat keselamatan atau tidak, tapi sekarang ini perhimpunan boleh diberi, (dengan) hanya beri notis kepada pihak polis.
"Jadi kalau sudah ada undang-undang macam itu, susah pihak polis untuk menentukan supaya tidak ada perhimpunan," katanya.
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang bakal melangsungkan Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu setelah mendapat kebenaran daripada PDRM semalam.Pertemuan antara Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan pengerusi himpunan Mohamad Sabu selama satu jam di Bukit Aman mencapai kata sepakat bahawa perhimpunan itu nanti perlu terhindar daripada sebarang insiden kekecohan.Mohamad berkata Ismail mengarahkan agar peserta perhimpunan untuk mematuhi garis panduan PAA yang telah dikemukakan kerajaan pada 2011.Musa kemudian berkata kriteria yang sering diguna pakai oleh polis adalah mementingkan keselamatan orang ramai, agar ketenteraman awam tidak tergadai.
"Jadi ini satu perkara yang pihak polis susah nak kawal dengan adanya undang-undang baru itu. Kalau undang-undang lama itu kita perlu dapatkan permit dan macam-macam lagi dan kemudian kita akan dapatkan siasatan.
"Kita akan menyiasat, sama ada ada pihak suka ke tidak dengan perhimpunan itu tadi," katanya sambil menambah jika kemungkinan perhimpunan berkenaan bertukar menjadi ganas, pihaknya menolak pemberian permit.
Justeru, kata Musa, jika kerajaan berpendapat perhimpunan anjuran pembangkang pada hujung minggu ini boleh menggugat keselamatan negara, pihak polis boleh menggunakan Akta Polis dengan mengisytiharkan darurat bagi menghalangnya."Dalam perkara ini, kalau berlaku sesuatu yang boleh gugatkan keselamatan, satu perkara yang boleh dilakukan oleh pihak polis ialah mengikut Akta Polis, bermakna anda kena isytihar 'curfew' lah (perintah berkurung). "Itu saja yang ada dalam akta polis sekarang ini. Itu pun 24 jam saja," katanya.
Polis tidak pernah pukul pertugas media
Dalam pada itu, Musa turut menyuarakan rasa hairan berhubung kes petugas media yang dipukul polis semasa perhimpunan BERSIH 3.0 April tahun lalu.Mengulas kejadian berhampiran Dataran Merdeka itu, katanya kejadian seumpama itu sepatutnya tidak berlaku.
Tambahnya, hubungan antara pasukan polis dengan media semasa beliau menjadi KPN sehingga tahun 2010 sangat baik, selain saling bekerjasama dalam pelbagai perkara.
"Pada saya media memang dah ada hubungan dengan pihak polis. Tak pernah polis pukul media, kami lindungi media dahulu sebab kadang kala kita minta bantuan daripada media juga untuk dapatkan video dan sebagainya.
"Itu sebab saya hairan bagaimana polis boleh pukul media (semasa perhimpunan BERSIH 3.0). Sebab kita dah ada perhubungan antara polis dengan media," katanya.Walaupun tidak menamakan pegawai yang bertanggungjawab, menurut Musa tiada arahan jelas dari pegawai atasan mungkin punca kekecohan itu berlaku."Jadi ini mungkin (terjadi) disebabkan silap arahan atau apa saya tak tahulah, tapi bagi saya media dengan polis perlu bekerja bersama-sama."Dan ahli politik patut ada 'cool head', maknanya sentiasa menentukan keselamatan supaya tak tergugat. Apa-apa tindakan yang nak dibuat sekalipun, jaga keselamatan, maknanya keselamatan orang ramai, itu penting," katanya.
Pada perhimpunan BERSIH lalu, ramai wartawan dan jurugambar mendakwa dipukul oleh polis semasa membuat liputan di tempat kejadian.
Comments
0 Comments

No comments: