PAS memerintah: Bagaimana cara hidup bukan Islam....


ULASAN: Dasar perjuangan parti politik harus jelas dan tuntas. Lebih-lebih lagi jika parti politik berkenaan mengisytiharkan bahawa Islam adalah asas pegangannya. Rakyat, terutama yang bukan Islam, berhak mendapatkan penjelasan.
Begitu juga dengan mana-mana pergerakan Islam. Matlamat dan cara perjuangannya harus lebih bening dan mudah difahami. Sering berlaku, non-muslim menolak Islam lantaran mesej yang disampaikan oleh pergerakan Islam dan dai’e Islam kabur dan meragukan.
Maka persoalannya ialah, adakah PAS sebuah parti politik atau sebuah gerakan dakwah? Persoalan ini ditimbulkan bukan membawa maksud bahawa dalam Islam agama harus dipisahkan daripada politik atau sebaliknya.
Malah sebaliknya, sebagai sebuah pertubuhan yang memproklamirkan bahawa perjuangannya ialah untuk mendaulatkan ajaran Islam, tidak kiralah jika PAS memilih untuk menggelar dirinya parti politik atau gerakan Islam, ia harus menyediakan jawapan kepada rentetan soalan seperti berikut:
Jika ditakdirkan bahawa PAS dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat berjaya menakluki Putrajaya dalam pilihanraya umum ke-13 nanti, adakah cara-hidup rakyat non-muslim umumnya akan berubah? Misalnya,
1. Adakah PAS akan mengizinkan aktiviti yang bertentangan dengan semangat ajaran Islam seperti pusat perjudian di Genting Highlands diteruskan?
Agak payah bagi kaki judi bukan Islam membayangkan keistimewaan seperti kasino di Genting itu diharamkan operasinya.
2. Adakah PAS akan menutup kilang arak seperti Carlsberg dan Guinness Stout yang sudah beroperasi sejak beberapa dekad di pesisir Lebuhraya Persekutuan? Orang Islam yang minum arak boleh dikenakan hukum hudud. Oleh perkara ini harus mendapat perhatian istimewa pemimpin PAS. Pendirian PAS harus diperjelaskan kepada rakyat bukan Islam, khususnya.
3. Pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan bukan muhrim adalah dilarang. Apakah PAS akan merombak sistem pendidikan negara dan memperkenalkan sekolah yang berbeza untuk lelaki dan perempuan?
Pendidikan mesti berlaku dari peringkat paling rendah lagi. Soal pendedahan pada pengetahuan seks agak sukar dilakukan dalam iklim sekolah bercampur murid lelaki dan perempuan.
4. Kini setiap kali akan persembahan daripada kumpulan pemuzik atau penyanyi barat yang tidak serasi dengan citarasa pemuda PAS, akan didahului dengan demonstrasi pergerakan Pemuda itu.
Adakah ini bermakna apabila PAS memerintah, konsert barat, asing dan tidak sealiran dengan semangat Islam akan diharamkan di Malaysia?
5. Adakah panggung wayang gambar akan ditutup? Atau, sekurang- kurangnya tempat duduk penonton lelaki dan wanita akan diasingkan?
6. Adakah sistem perbankan konvensional akan dihentikan operasinya? Seperti dimaklumi sistem ini hidup atas dasar riba. Riba itu haram. Apakah PAS akan menukarnya kepada sistem perbankan Islam sahaja?
7. Bagaimana pula dengan etika berpakaian? Adakah fesyen ala-barat yang mencorakkan citra rakyat Malaysia akan dihad atau diharamkan?
Konsep lakum dinukum wali yadin (untukmu agamamu, untukku agamaku) PAS akan letak di mana apabila memerintah? Ini semua asas kebimbangan bukan Islam di negara ini.
Setakat ini PAS agak bernasib baik kerana imej Islamnya yang sebenar disamarkan oleh sekutunya, Parti Keadilan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. PKR kelihatan faham konsep demokrasi. Ia berjanji untuk berlaku adil dan menghormati hak asasi setiap rakyat non-muslim.
Maka apabila Anwar mengisytiharkan apa yang tidak dimaktubkan dalam Buku Jingga, termasuk hudud, tidak akan jadi agenda perjuangan Pakatan Rakyat, ia berhasil “membeli” sedikit ketenangan bagi bukan Islam bahawa PAS tidak akan diizinkan untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Anwar Ibrahim mencorakkan imej politiknya sebagai seorang demokrat. Rakyat bukan Islam nampaknya bertambah percaya pada imej ini. Anwar akan menjadi sandaran mereka untuk menjadi batu penghalang bagi PAS jika ia mahu menjadikan Malaysia Negara Islam!
Namun oleh kerana rimas dan menganggap Umno yang menerajui BN tidak telus dan terlalu condong untuk mendahulukan keperluan Melayu dan Islam sahaja di negara ini, ada dalil menunjukkan mereka kini berharap Anwar dengan kerjasama DAP boleh menumpaskan Umno dan pada masa yang sama menghalang PAS daripada melaksanakan program menukar cara hidup mereka.
Hingga di peringkat ini, adalah jelas umat bukan Islam di negara ini masih curiga mengenai agenda politik PAS. Sebab itu, PAS perlu memperjelaskan kedudukannya sama ada ia sebuah parti politik (yang mengatur langkah mengikut keperluan politik) atau sebuah badan dakwah yang hanya mahu menyebarkan Islam.
Kejujuran seharusnya jadi ciri PAS. Ia tidak boleh berlindung di sebalik retorik politik. Melengahkan penjelasan dan ketegasan hanya memburukkan imej Islam di kalangan bukan Islam.
Namun paling penting, pemimpin-pemimpin PAS harus jujur pada ahlinya. Jika ia sebuah parti politik, dan perkiraan langkahnya adalah bersandarkan laba politik semata, ahli harus tahu.
Adalah buruk padahnya, apabila PAS ditakdirkan dapat memerintah Malaysia, perkara asasi bagi kebanyakan ahli parti itu seperti menghapuskan kemungkaran dengan tangan atau menggunakan lidah mahupun hati, tidak dilaksanakan. Ketika itu sudah agak terlambat bagi PAS untuk mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah parti politik sama seperti Umno dan rakan karibnya, PKR.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana