Nasrudin: Islam tidak beri kebebasan pilih agama


SHAH ALAM: Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan Islam tidak pernah memperjuangkan kebebasan beragama untuk penganutnya dan mereka yang murtad adalah pengkhianat kepada agama Allah S.W.T.
Dalam mengutarakan pendirian itu di dalam blognya, Nasrudin tidak merujuk kepada laporan yang memetik Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar sebagai mahukan kebebasan agama turut diberi kepada orang Melayu dan bukan untuk yang bukan Islam sahaja.
Namun pemimpin PAS itu menulis dalam blog e.perjuangan.com bahawa kebebasan untuk memilih agama selain Islam tidak wujud dalam ajaran agama itu.
“Islam tidak pernah memperjuangkan kebebasan beragama justeru Islam telah menegaskan bahawa satu - satunya agama yang benar ialah Islam. Bahkan Islam memerintahkan umatnya berjuang bagi mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia menembusi setiap sanubari manusia,” kata Nasrudin.
Kenyataan itu adalah yang paling jelas daripada PAS sejak kontroversi bersabit kenyataan Nurul itu tercetus 3 November lalu, ketika beliau menyertai wacana mengenai Negara Islam anjuran sebuah pergerakan Kristian di Subang Jaya.
“Tidak ada paksaan di dalam Islam. Bagaimanakah seseorang itu boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia (sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum),” kata Nurul ketika menjawab pertanyaan seorang peguam mengenai isu itu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini enggan menghuraikan pendirian parti mengenai kenyataan Nurul, sungguhpun akar umbi parti itu mendesak kepimpinan PAS bertegas.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula hanya berkata kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mungkin celaru namun menganggap kritikan terhadap beliau sebagai tidak adil.
Bagaimanapun, kenyataan Nasrudin dalam blognya menyerlahkan rasa tidak puas hati dalam PAS terhadap kenyataan Nurul itu yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai pro-murtad.
Nurul menafikan beliau mahu orang Melayu diberikan kebebasan memilih agama Islam dan bercadang menyaman akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Dalam rencana berjudul “Antara Iltizam dan Bebas,” Nasrudin menegaskan bahawa Islam adalah cara hidup sempurna dan memetik beberapa ayat Al-Quran untuk menyokong hujah beliau.
“Islam adalah agama wahyu. Ia diturunkan oleh Allah S.W.T , Tuhan Yang Maha Mencipta kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ia adalah cara hidup yang sempurna dan dimuktamadkan oleh Allah S.W.T sebagai satu - satunya jalan yang lurus dan benar,” kata beliau.
Tiada pilihan dan kebebasan bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T melainkan mesti akur dan patuh pada ketetapan-Nya, tambah Nasrudin.
Beliau merujuk kepada Ayat 35 Surah Al-Ahzaab yang berbunyi :
Tidak layak bagi mereka yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ada ketetapan Allah dan Rasul-Nya. lantas mereka membuat pilihan yang lain dalam urusan mereka [ selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya ] dan barangsiapa yang menderhakaiAllah S.W.T dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan satu kesesatan yang nyata.
Nasrudin menegaskan bahawa seorang Islam bukan sahaja tidak boleh mengabaikan perintah dan larangan Allah S.W.t malah wajib memastikan aqidah atau keyakinan beliau kepada Islam adalah tanpa sebarang keraguan.
“Berpaling daripada Islam selepas menganutnya [ murtad ] adalah satu jenayah besar dalam Islam justeru, ia satu pengkhianatan dan persendaan terhadap agama Allah S.W.T.
Nasrudin berkata, Islam melarang umatnya memaksa sesiapa menganut agama itu dan agama itu mesti diterima dengan benar dan yakin tanpa sebarang paksaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana