Sultan Selangor Memang Tidak Dijemput - Khalid Ibrahim
SHAH ALAM 1 September - Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui kerajaan negeri tidak menjemput Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri program sambutan Hari
Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri yang berlangsung malam Jumaat lalu."Memang tak ada dalam program menjemput
(Sultan). Memang biasa tiap-tiap tahun kita membuat cara ini, itu sahaja,"
katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar bahawa
Sultan Selangor dibelakangkan dalam acara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran
Kemerdekaan di sini.
Beliau turut menafikan bahawa Sultan
Sharafuddin murka dengan tindakan kerajaan negeri itu dan berkata Sultan
Selangor telah diberi penjelasan mengenai perkara itu.Abdul Khalid ditemui pemberita selepas majlis
bacaan Yasin, tahlil dan doa sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bersama
rakyat yang dihadiri Sultan Selangor di Masjid Negeri di sini, hari ini.Sementara itu, Setiausaha Sulit kepada Sultan
Selangor Datuk Mohamad Munir Bani ketika dihubungi berkata urusan menjemput
Sultan bagi menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan peringkat negeri
merupakan amalan biasa yang dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini."Sebelum ini, sambutan (ulang tahun kemerdekaan
anjuran kerajaan negeri) memang dimaklumkan oleh kerajaan negeri kepada baginda
termasuk daripada segi jemputan, ia satu formaliti.
"Namun, terpulang kepada budi bicara baginda
sama ada hadir atau tidak pada majlis itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno negeri
Abdul Shukor Idrus pula mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput
pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penasihat Ekonomi Selangor
sebagai tetamu utama, pada majlis itu.Beliau berkata tindakan sedemikian dilihat
tidak wajar kerana jawatan Penasihat Ekonomi Selangor adalah jawatan politik
yang diwujudkan pentadbiran kerajaan negeri dan tidak terkandung dalam
Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri."Apakah kerajaan negeri mahu menggunakan
sambutan yang dibiayai kerajaan negeri untuk kepentingan politik. Jika benar
demikian, ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab selain menghina institusi
Kesultanan Selangor," katanya.Pada masa sama, Abdul Shukor yang juga anggota
Dewan Undangan Negeri Kuang menggesa supaya menteri besar dan barisan exco
mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor termasuk
seluruh rakyat Selangor atas tindakan itu.
Di KOTA BHARU, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim
Ali berkata ada pihak mendakwa ia satu mesej daripada segelintir pemimpin dalam
pakatan pembangkang yang cuba menidakkan peranan institusi diraja atas nama
demokrasi.
Comments