PAS Tidak Akan Pecat Nasharudin - Nakhaei


SHAH ALAM: Majlis Syura Ulama PAS yang akan bermesyuarat Ahad ini dijangka tidak akan mengambil tindakan memecat ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa ekoran gesaan beliau supaya parti itu mempertimbangkan semula kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat.

Bekas Naib Presidennya, Datuk Nakhaie Ahmad yang dihubungi Antarapos menjelaskan, keputusan itu mungkin dibuat kerana PAS sudah belajar daripada kesilapan mereka memecat bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali awal tahun ini.

Menurut beliau, PAS sedar jika mereka memecat Nasharudin daripada parti, bekas Timbalan Presiden itu pastinya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan susulan yang akan merugikan parti yang memperjuangkan Islam itu.

“Saya ingat mereka (PAS) tidak ambil tindakan (memecat Nasharudin) kerana mereka harus belajar daripada tindakan salah memecat Dr. Hassan Ali,

“Nasharudin takkan berdiam diri, dia akan menjalankan langkah yang merugikan PAS (sekiranya dipecat),” ujar Nakhaie.

Selain itu, katanya, keputusan untuk tidak memecat itu juga mungkin diambil memandangkan kebanyakan ahli Majlis Syura Ulama PAS terdiri daripada golongan ulama parti tersebut yang katanya menyokong pendirian Nasharudin.

Umum mengetahui PAS terbahagi kepada dua kelompok besar yang berbeza pandangan iaitu kelompok Erdogan yang mendapat pendidikan sekular dan dilihat lebih condong ke arah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kelompok ulama yang mengekalkan tradisi lama PAS.

Satu perkara yang mungkin menimbulkan masalah kepada kelompok ulama di dalam Majlis Syura Ulama itu kata Nakhaie adalah apabila Mursyidul Am parti, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat lebih condong menyebelahi kelompok Erdogan, yang dilihat mempunyai agenda untuk menghapuskan kepimpinan ulama di dalam PAS.

“Oleh kerana Majlis Syura Ulama ini dikuasai oleh ulama-ulama, saya tak fikir bahawa Nasharudin akan dipecat,

“Tetapi di kalangan ulama itu, Mursyidul Am PAS iaitu Nik Aziz, dia seolah-olah mendukung pihak Erdogan. Jadi di situlah sama ada ulama-ulama ini nak patuh kepada dia ataupun buat keputusan lain,” katanya.

Masa depan Nasharudin bersama PAS dijangka akan ditentukan Ahad ini apabila Majlis Syura Ulama yang diketuai Nik Aziz akan bermesyuarat dan membincangkan kenyataan beliau yang bertentangan dengan pendirian parti selain dirinya yang dilihat akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Majlis Syura Ulama merupakan pentadbir tertinggi PAS yang memutuskan segala keputusan yang bersangkut-paut dengan dasar parti itu.

Sementara itu Nakhaie yang meninggalkan PAS pada Jun tahun lalu itu memberitahu Antarapos yang beliau sangat bersetuju dengan saranan Nasharudin supaya keputusan untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR di dalam Pakatan dikaji semula.

Ini kerana katanya, PAS di dalam Pakatan hanya memainkan watak sebagai sekadar ‘pak turut’ semata-mata yang telah menyebabkan ia dilihat semakin bercelaru dengan dasar perjuangan Islamnya di kalangan ahli-ahli.

“Sekarang ini sebenarnya, keberadaan PAS dalam Pakatan itu menyebabkan PAS bercelaru melainkan sekiranya PAS sendiri berada di tempat yang dominan di dalam Pakatan.

“Tapi kalau dia duduk dalam keadaan sekarang, pak turut sahaja, menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan ahli-ahli dan dia terpaksa juga buat kenyataan yang tidak menggambarkan perjuangan Islam kerana hendak memuaskan atau menyeimbangkan dengan pendirian DAP dan PKR,” ujar beliau.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana