Pembangkang Mungkin Guna Cara Demo Ganas Menang PRU13 - Dr M

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti lawan mungkin akan menggunakan cara demonstrasi ganas dan berpanjangan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 berikutan cara demokrasi tidak memberi kemenangan kepada mereka berdasarkan kepada sejarah dan keputusan pilihan raya terdahulu.Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semua rakyat Malaysia dan pemerhati asing sehingga kini mengakui proses pilihan raya tidak dapat menjatuhkan Barisan Nasional (BN)."Majoriti rakyat Malaysia tetap memberi kemenangan kepada BN, kenapa tidak, semua terpaksa terima hakikat bahawa kerajaan BN telah membawa banyak kemajuan dan nikmat lain kepada rakyat."BN berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada negara. Tiap seorang dari rakyat Malaysia dapat mengecapi kehidupan yang lebih mewah dan lebih bahagia di bawah pemerintahan BN," katanya dalam catatan terbaru blog beliau di chedet.cc pada Jumaat.

Dr Mahathir berkata segala percubaan oleh parti-parti lawan untuk mengurangkan sokongan dan persepsi baik terhadap BN dan pemerintah yang didirikan olehnya tidak berjaya.
Justeru, katanya, maka Bersih dicipta dan tunjuk perasaan yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan pilihan raya jika parti lawan gagal memenanginya. "Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihan raya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan. "Kemudian, mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihan raya sekali lagi yang boleh dimanipulasi mereka," katanya.
Dr Mahathir berkata sudah tentu sebelum kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demonstrasi ganas dan huru-hara selain segala perancangan dan perusahaan akan diganggu mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan.

"Kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan. Kuasa-kuasa asing akan mengecam kerajaan pilihan rakyat kerana kononnya mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo. Malaysia akan dicap sebagai Police State," katanya. Beliau berkata Malaysia yang bangun dengan pesatnya akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya. "Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat untuk memilih kerajaan. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020 tidak menjadi kenyataan," katanya.Dr Mahathir berkata inilah yang akan berlaku kerana parti bukan BN kecewa tidak dapat ke Putrajaya dan jika dengan cara ganas mereka ini membuatkan mereka berjaya merebut kuasa, maka demokrasi akan dihapuskan dan nasib yang buruk akan menimpa negara ini. -BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana